KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Masalah log masuk seperti terlupa kata laluan dan kegagalan menetapkan semula kata laluan merupakan antara kesilapan lazim pembayar cukai ketika membuat pengemukaan e-Filing yang bermula pada 1 Mac setiap tahun.
Eksekutif HaSIL Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia Jabatan Khidmat Korporat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Muhammad Hafiz Halily Aisa berkata kebanyakan pengguna hanya mengakses sistem e-Filing sekali setahun, khususnya ketika tiba musim pengisian cukai.
“Banyak panggilan yang diterima berkenaan masalah terlupa kata laluan ini. Namun, pengguna perlu tahu bahawa kata laluan ini boleh diubah atau diset semula pada bila-bila masa, dengan syarat emel dan nombor telefon terkini yang digunakan berdaftar secara rasmi dengan LHDN.
“Namun, segelintir pembayar cukai tidak mengemas kini butiran peribadi seperti nombor telefon dan emel, menyebabkan pautan set semula kata laluan tidak diterima,” katanya ketika menjadi tetamu program Klinik Cukai bertajuk “e-Filing: Kesilapan Lazim Pembayar Cukai” di Bernama Radio di sini hari ini.
Beliau menjelaskan terdapat pembayar cukai yang menggunakan emel pejabat sebagai alamat emel berdaftar dalam butiran peribadi, namun selepas berhenti atau tidak lagi bertugas di tempat kerja lama, mereka tidak lagi mempunyai akses kepada emel tersebut sekali gus gagal membuat set semula kata laluan.
“Oleh itu, pembayar cukai dinasihatkan untuk menggunakan emel rasmi peribadi dan sentiasa mengemas kini perubahan maklumat peribadi supaya sebarang penyaluran maklumat berhubung dengan isu percukaian mereka dapat disalurkan dengan jayanya,” katanya.
Muhammad Hafiz Halily turut menasihatkan pembayar cukai untuk mengemas kini alamat tempat tinggal kerana LHDN akan mengeluarkan surat pemakluman rasmi berhubung sebarang isu percukaian yang berlaku terhadap mereka menerusi kiriman surat rasmi.
Selain itu, beliau menegaskan kesalahan mengisi butiran pendapatan yang tepat juga merupakan antara kesalahan lazim pembayar cukai.
“Jumlah pendapatan yang perlu dilaporkan adalah jumlah pendapatan diterima sepanjang sesuatu tahun taksiran tersebut. Contohnya, yang terkini, untuk tahun taksiran 2025, pembayar cukai perlu melaporkan jumlah pendapatan yang diterima bermula Januari hingga Disember 2025,” katanya.
Beliau turut menjelaskan sekiranya pembayar cukai mempunyai lebih daripada satu rekod penggajian yang diterima dalam tahun 2025, jumlah pendapatan daripada semua penggajian perlu dijumlahkan sepenuhnya untuk mendapatkan jumlah pendapatan sebenar yang diterima dalam tahun tersebut.
“Dalam hal ini, ada pembayar cukai yang hanya mengisi amaun pendapatan sebulan penggajian yang sememangnya tidak tepat dan akan mengakibatkan tindakan audit ke atas mereka dilakukan.
“Jadi, untuk mendapatkan jumlah pendapatan yang tepat, pembayar cukai perlu mendapatkan penyata pendapatan tahunan (Borang EA/EC) daripada pihak majikan terlebih dahulu sebelum membuat pengisian e-Filing,” katanya.
Muhammad Hafiz Halily berkata tidak semua pelepasan cukai boleh dituntut oleh pembayar cukai kerana ia berubah setiap tahun, bergantung kepada apa yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan belanjawan.
“Tuntutan pelepasan hanya dibenarkan sekiranya pembayar cukai benar-benar melaksanakan perbelanjaan yang dituntut dan tertakluk kepada had maksimum tuntutan dibenarkan.
“Suka diingatkan kepada pembayar cukai bahawa setiap perbelanjaan perlu dibuktikan dengan rekod (bil, resit, transaksi dalam talian dan lain-lainl) bagi membolehkan tuntutan dilakukan. Dalam Akta Cukai Pendapatan (ACP 1967), pembayar cukai dikehendaki untuk menyimpan rekod selama tujuh tahun,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial