KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Forum Agenda Wanita Negara bersempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 hari ini menjadi platform memperkasa wanita menerusi perkongsian pengalaman industri serta usaha membina ekosistem ekonomi yang lebih inklusif.
Forum itu yang bertemakan ‘Memartabat Wanita Memperkukuh Negara’, menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai latar belakang di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata forum tersebut bukan sekadar ruang perkongsian pengalaman, tetapi juga medan untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita, khususnya golongan muda, agar berani memulakan langkah dalam bidang keusahawanan.
Beliau berkata ramai usahawan berjaya membuktikan bahawa perniagaan tidak semestinya bermula dengan modal besar, sebaliknya boleh dimulakan secara kecil-kecilan dari rumah dengan memanfaatkan minat, idea dan bakat yang dimiliki.
“Tidak perlu gunakan peruntukan yang besar-besar dahulu. Sehingga anda ada minat mendalam, dengan idea sendiri. Lepas tu tunjuklah bakat anda, dan ia boleh digunakan untuk menjadi peluang bagi mendapatkan geran dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum tersebut.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan TalentCorp Mahuran Saro Datuk Sariki berkata kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta amat penting dalam merapatkan jurang gender dalam ekonomi, khususnya melalui pelaksanaan dasar tempat kerja yang fleksibel.
Beliau berkata inisiatif seperti Program Wanita Kembali Bekerja serta insentif pelepasan cukai dan latihan bagi Aturan Kerja Fleksibel (FWA) yang diperkenalkan kerajaan membantu menarik semula wanita yang pernah meninggalkan kerjaya atas faktor tanggungjawab keluarga.
Dalam forum sama, Pengurus Kanan Sumber Manusia Technocom Systems Sdn Bhd Normah Shahrom berkata syarikat multinasional itu kini didominasi oleh 83 peratus pekerja wanita hasil pelaksanaan dasar kerja yang lebih inklusif.
Beliau berkata selain menyediakan peluang pekerjaan, syarikat itu turut menaja pendidikan pekerjanya melalui program Academy in Industry bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), sekali gus memberi peluang kepada mereka meningkatkan kemahiran serta memperoleh diploma profesional.
Sementara itu, pengasas dan pereka fesyen jenama Tom Abang Saufi, Datuk Indera Tom Abang Saufi berkata industri kreatif turut membuka peluang luas kepada wanita menjana pendapatan hingga ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata bakat dan keunikan budaya tempatan berpotensi menembusi pasaran global sekiranya digarap dengan strategi penjenamaan yang konsisten.
Pada masa sama, beliau menggalakkan usahawan wanita agar sentiasa peka terhadap perubahan teknologi termasuk menguasai platform perniagaan dalam talian bagi memastikan jenama yang dibina kekal relevan dan mampu bersaing dalam pasaran global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial