AM

Operasi Bersepadu Selepas Insiden Pukul Penguat Kuasa Di Sandakan

10/03/2026 04:57 PM

KOTA BELUD, 10 Mac (Bernama) -- Operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi penguat kuasa akan dilaksanakan bagi membendung kegiatan penjualan rokok seludup susulan insiden seorang pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dipukul, Jumaat lepas.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Fairuz Renddan berkata operasi itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau berkata kejadian melibatkan penjawat awam dipukul secara terbuka adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan kerajaan negeri memandang serius perkara berkenaan.

“Kita ada perlembagaan dan undang-undang. Jangan terlalu menunjukkan keberanian dengan melanggar undang-undang. Kerajaan negeri akan berusaha menghapuskan budaya sedemikian di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus mengenai pembangunan industri padi negeri di sini, hari ini.

Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, operasi bersepadu itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat, namun tarikh pelaksanaannya tidak didedahkan bagi memastikan keberkesanannya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri turut meneliti usaha memperkukuh aspek penguatkuasaan, termasuk meningkatkan keupayaan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan.

Menurut beliau, perkara itu akan dibincangkan bersama menterinya Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif bagi mencari kaedah sesuai untuk memperkasa anggota penguat kuasa ketika melaksanakan tugas.

Dalam perkembangan sama, Fairuz memaklumkan pegawai penguat kuasa yang menjadi mangsa dalam kejadian itu dilaporkan stabil walaupun masih mengalami sedikit trauma.

Beliau berkata polis turut menahan empat suspek berhubung kejadian berkenaan, termasuk seorang remaja berusia 14 tahun.

Jumaat lepas, anggota penguat kuasa berusia 50 tahun itu cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki ketika membuat rondaan di Pasar Batu 8, Sandakan.

Mangsa mendakwa menegur seorang lelaki yang dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan pasar sebelum tercetus perselisihan faham dan mangsa diserang beberapa lelaki tidak dikenali.

Rakaman video insiden itu turut tular di media sosial.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan