EKONOMI

LTAT Jangka Dividen 5.0 Peratus Pada Tahun Kewangan 2026 Disokong Rizab Lebih Kukuh

12/03/2026 04:01 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menjangkakan pembayaran dividennya kekal pada kadar lima peratus bagi tahun kewangan 2026, disokong oleh strategi untuk memperkukuh rizab sebagai penampan terhadap potensi turun naik pasaran.

Ketua Eksekutif Mohammad Ashraf Md Radzi berkata pembinaan rizab yang kukuh akan membantu dana itu mengekalkan agihan dividen yang stabil meskipun ketika mendepani keadaan pasaran semasa.

“Itulah tujuan utama kita untuk memperkukuh rizab sehingga ke tahap itu,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Pengumuman Dividen 2025 hari ini.

Mohammad Ashraf berkata rizab yang dikumpulkan ketika tempoh prestasi memberangsangkan boleh digunakan semasa kelembapan untuk menyokong pembayaran dividen sekiranya pulangan tahunan tidak mencapai sasaran.

“Pendekatan yang digunakan ini amat penting memandangkan LTAT sebagai dana persaraan bergantung kepada pulangan pelaburan yang direalisasikan untuk menyokong pembayaran dividen kepada pencarum,” katanya.

LTAT kini menguruskan aset bernilai kira-kira RM13 bilion dan memerlukan pengurusan portfolio yang aktif untuk memastikan setiap aset menjana pendapatan yang konsisten.

Mohammad Ashraf berkata mengekalkan pembayaran dividen yang stabil akan menjadi sukar jika terlalu banyak aset gagal menjana pulangan.

Sementara itu, peruntukan aset strategik (SAA) LTAT yang diperkenalkan pada 2020 kini menjalani semakan pertama meliputi tempoh sehingga 2030, sebagai asas kepada penstrukturan semula portfolio pelaburan jangka panjangnya.

“Di bawah pelan itu, LTAT menyasarkan peruntukan sekitar 20 peratus dalam ekuiti tersenarai dan 20 peratus dalam instrumen pendapatan tetap portfolio jangka panjangnya,” kata beliau.

“Kepentingan keuntungan daripada pelupusan adalah untuk penempatan semula aset. Keuntungan dan tunai yang dijana ini bertujuan untuk ditempatkan semula dan dilaburkan semula,” tambahnya.

Beliau berkata strategi itu adalah sebahagian daripada pelan transformasi GEMPUR30 LTAT, yang memberi tumpuan kepada memperkukuh struktur pelaburan dan memastikan pulangan jangka panjang yang mampan.

Melalui GEMPUR30, LTAT memberi penekanan lebih besar kepada pengurusan portfolio yang strategik, termasuk menilai semula aset matang untuk menjana tunai dan melabur semula dalam aset yang memberikan pulangan lebih konsisten.

Terdahulu, LTAT mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 yang berjumlah RM524.74 juta, jumlah agihan dividen tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan