AM

Peluang Pengusaha Taska, Tadika Dan Pusat Jagaan Di Pulau Pinang Semak Status Hingga 31 Mac

12/03/2026 03:29 PM

GEORGE TOWN, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi peluang terakhir kepada pengusaha taska, tadika dan pusat jagaan (TTPJ) di negeri itu yang belum berdaftar untuk menyemak dan mengesahkan status pendaftaran premis sehingga 31 Mac.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim berkata tempoh itu membolehkan pengusaha yang mungkin tercicir daripada senarai sedia ada berbuat demikian dengan pihak berkuasa berkaitan.

“Pengusaha TTPJ boleh hadir ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut kategori pusat masing-masing untuk menyemak status dan selepas tarikh itu, tiada lagi rayuan akan dipertimbangkan. 

“Saya berharap semua pengusaha tampil membuat semakan dalam tempoh diberikan yang mencukupi untuk tujuan tersebut,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar di sini hari ini.

Lim berkata sehingga 31 Dis tahun lepas terdapat 1,033 TTPJ di Pulau Pinang dengan 225 daripadanya belum berdaftar, iaitu 213 taska dengan 61 belum berdaftar, 557 tadika (84 belum berdaftar) dan 263 pusat jagaan (80 belum memperoleh pendaftaran rasmi).

Beliau berkata keadaan itu perlu diberi perhatian serius kerana TTPJ melibatkan golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU) yang memerlukan penjagaan selamat dan berkualiti.

“Kerajaan negeri telah meluluskan inisiatif khas bagi membantu pengusaha mengesahkan status premis dan perniagaan mereka sekali gus menggalakkan lebih banyak tampil untuk mendapatkan pendaftaran rasmi.

”Bagi 225 premis yang telah berdaftar dengan JKM atau JPN sebelum 31 Dis, kerajaan negeri menawarkan pengecualian Kebenaran Merancang (KM) dan kadar tetap RM1,000 bagi fi pemprosesan perakuan pendaftaran infrastruktur,” katanya. 

Lim berkata permohonan baharu selepas tarikh itu membolehkan pengusaha menikmati diskaun 50 peratus bagi bayaran fi pemajuan untuk caj tukar guna selain pengecualian denda yang dianggarkan kira-kira RM10,000 bagi setiap premis yang beroperasi tanpa kelulusan sebelum ini.

Beliau berkata tempoh pemutihan dan pemberian insentif itu bermula dari 1 Mac 2026 hingga 28 Feb 2027 sebelum tindakan penguatkuasaan diambil terhadap premis yang beroperasi tanpa pendaftaran bermula 1 Mac tahun hadapan.

Dalam pada itu, Lim mengarahkan JKM Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan mengejut lebih kerap dan semakan menyeluruh terhadap tahap pematuhan Kursus Asuhan PERMATA (KAP) dalam kalangan pengusaha dan pengasuh di semua TTPJ di negeri itu.

“Semua penjaga perlu mengikuti Kursus Asuhan PERMATA (KAP) bagi memastikan tahap profesionalisme, tanggungjawab dan kualiti penjagaan pada standard ditetapkan. Saya juga berharap JPN menjalankan pemantauan berkala bagi memastikan perkara (kematian bayi di taska) yang berlaku baru-baru ini tidak berulang,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancang Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye menggesa semua pengusaha TTPJ mengambil peluang insentif pendaftaran yang diumumkan bagi melaksanakan proses pemutihan.

Beliau berkata insentif itu peluang terbaik kepada pengusaha untuk tampil mendaftarkan premis mereka dan mematuhi peraturan supaya beroperasi secara sah dan mematuhi piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan