KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 bakal membolehkan Elaun Bantuan Mobiliti dibayar secara sekali gus kepada pencari kerja yang berjaya mendapat penempatan baharu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata peruntukan baharu di bawah Seksyen 37A itu merupakan antara empat aspek utama pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) bagi menggalakkan mobiliti dan meningkatkan peluang Orang Berinsurans (OB) mendapat pekerjaan yang sesuai.
Beliau berkata elaun tersebut akan diberikan kepada OB yang melapor diri untuk bekerja dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan selepas menerima elaun mencari pekerjaan terakhir atau elaun bekerja semula.
"Antara syarat kelayakan yang ditetapkan adalah jarak tempat pekerjaan baharu hendaklah melebihi 100 kilometer bagi melayakkan OB menerima elaun mobiliti tersebut. Bagaimanapun, ia tidak akan diberikan kepada mereka yang menerima elaun pendapatan berkurangan," katanya ketika membentangkan RUU itu di Dewan Negara, hari ini.
Khairul Firdaus berkata pindaan itu juga memperluas peranan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi penukaran tajuk akta kepada Akta Insurans Pekerjaan dan Perkhidmatan Pekerjaan 2017 bagi memudahkan pencari kerja mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan majikan.
Selain itu, beliau berkata Jemaah Menteri pada 27 Feb lepas bersetuju menyelaraskan amaun denda bagi majikan yang gagal melaporkan kekosongan jawatan di bawah Seksyen 45F bagi mengelakkan bebanan kepada syarikat mikro dan kecil.
"Denda yang dicadangkan adalah tidak melebihi RM1,000 bagi kesalahan pertama, RM3,000 bagi kesalahan kedua dan RM5,000 bagi kesalahan ketiga atau seterusnya, berbanding cadangan asal RM10,000," katanya.
Ketika menggulung perbahasan, Khairul Firdaus menjelaskan OB yang diberhentikan kerja disebabkan salah laku atau tindakan disiplin tidak layak menerima faedah berkenaan.
Beliau berkata penentuan sama ada pemberhentian berkaitan tindakan disiplin adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan Mahkamah Perusahaan.
Pindaan Akta 800 ini adalah selari dengan strategi meningkatkan kesejahteraan pekerja di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dalam memperkukuh perlindungan sosial dan mendepani cabaran pasaran buruh yang semakin dinamik.
RUU itu kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan seramai 12 senator.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial