PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Pencalonan Anugerah Seni Negara (ASN) 2026 dibuka secara rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia bermula hari ini hingga 11 Mei depan bagi mengiktiraf tokoh seni yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kelangsungan industri seni tanah air.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencalonan dibuka bagi lima bidang seni utama iaitu seni muzik, seni tari, seni lakon, seni kraf dan seni visual.
"Pencalonan untuk penerima Anugerah Seniman Negara dan Anugerah Karyawan Seni dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk individu, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi (IPT) manakala pencalonan untuk Anugerah Pendukung Seni dibuka kepada jabatan dan agensi di bawah MOTAC sahaja," menurut kenyataan itu.
MOTAC memaklumkan antara kriteria utama pencalonan termasuk calon merupakan rakyat Malaysia, mempunyai sekurang-kurangnya 25 tahun pengalaman dalam bidang seni masing-masing, masih aktif berkarya serta mempunyai rekod kecemerlangan dan kepimpinan dalam pembangunan seni di peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa.
Selain itu, calon juga perlu menunjukkan bakat yang konsisten, menghasilkan karya berkualiti yang memberi impak kepada industri seni, serta memainkan peranan dalam membimbing bakat baharu.
Menurut MOTAC, penerima Anugerah Seniman Negara akan membawa pulang wang tunai RM60,000, watikah penganugerahan, trofi ASN, sepasang pakaian kebangsaan, peluang menjadi Seniman Tamu MOTAC, insentif penghasilan karya, penerbitan berkaitan tokoh serta kemudahan rawatan di hospital kerajaan.
Bagi Anugerah Karyawan Seni pula akan menerima RM30,000, watikah dan trofi ASN manakala Anugerah Pendukung Seni membawa ganjaran RM10,000, watikah serta trofi.
MOTAC mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk mencalonkan tokoh seni yang layak bagi memastikan sumbangan mereka kepada pembangunan seni negara terus dihargai dan diiktiraf.
Borang pencalonan serta maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi MOTAC di www.motac.gov.my dan borang yang lengkap bersama dokumen sokongan boleh dihantar melalui e-mel atau serahan tangan kepada Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC, Aras 4, Menara 1, Presint 5 Putrajaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial