EKONOMI

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 Berakhir, Konflik Asia Barat Antara Tumpuan

12/03/2026 04:59 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi Mesyuarat Pertama tahun 2026 yang berakhir hari ini memberi tumpuan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi negara, pengurusan fiskal serta langkah kerajaan memantau impak konflik di Asia Barat terhadap ekonomi domestik dan global.

Mesyuarat Pertama Persidangan Dewan Rakyat berlangsung dari 19 Jan hingga 3 Mac 2026, manakala Dewan Negara bersidang dari 19 Feb hingga hari ini.

Sepanjang persidangan itu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 bagi menyemak kadar pemberian tahunan kepada kerajaan negeri berdasarkan struktur bilangan penduduk baharu.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata pelarasan kadar itu bertujuan memastikan manfaat lebih optimum khususnya kepada negeri yang mempunyai bilangan penduduk kecil serta sumber hasil yang terhad.

Dewan Negara sebelum ini turut meluluskan RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026 yang melibatkan perbelanjaan mengurus tambahan pertama bagi 2025 berjumlah RM8.4 bilion.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata keseluruhan peruntukan itu telah dibelanjakan sepenuhnya pada 2025 tanpa menjejaskan sasaran defisit fiskal negara yang kekal pada kadar 3.8 peratus.

Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun kenaikan harga minyak mentah dunia meningkatkan hasil negara menerusi dividen dan cukai Petroliam Nasional Bhd (Petronas), keadaan itu pada masa sama menambah beban subsidi bahan api selagi mekanisme penyasaran subsidi belum dilaksanakan sepenuhnya.

Menyentuh prestasi mata wang tempatan, Kementerian Kewangan memaklumkan ringgit terus dipantau rapi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan pelarasan nilai mata wang berlaku secara teratur.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata tarif terbaharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dijangka hanya memberi kesan minimum terhadap eksport minyak sawit Malaysia.

Beliau berkata Amerika Syarikat bukan pasaran utama minyak sawit Malaysia dengan sumbangan eksport hanya sekitar 1.1 peratus berbanding pasaran besar seperti India, Kenya dan China, selain menegaskan kesannya masih terkawal memandangkan penggunaan di negara itu tertumpu kepada sektor tertentu.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata pendirian Malaysia sebagai “rakan kepada semua negara” (friends-to-everyone) telah mendorong prestasi perdagangan negara melepasi paras RM3 trilion buat kali pertama pada 2025, iaitu mencecah RM3.06 trilion, meningkat 6.2 peratus berbanding 2024.

Walaupun nilai perdagangan Malaysia dengan Iran agak kecil iaitu sekitar RM2.45 bilion, beliau berkata kerajaan akan terus memantau rapi konflik di Asia Barat bagi memastikan rantaian bekalan global tidak terjejas secara ketara.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah turut memaklumkan kerajaan sedang meneliti kemungkinan berlakunya inflasi tolakan kos susulan konflik tersebut yang berpotensi memberi tekanan kepada kos tenaga global.

Sementara itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri memaklumkan kerajaan telah mengenal pasti serta menyokong penubuhan lebih enam syarikat reka bentuk litar bersepadu tempatan bagi membolehkan pembangunan dan pemilikan harta intelek teknologi tempatan atau “Made by Malaysia”.

Kementerian itu turut menegaskan komitmen Kepastian Pelesenan dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) tidak menjejaskan keputusan kerajaan untuk menguatkuasakan syarat teknikal ke atas Lynas Malaysia atau syarikat unsur nadir bumi lain.

Bagi memastikan kelangsungan pembangunan infrastruktur pengangkutan, kerajaan turut meluluskan pinjaman mudah berjumlah RM135 juta bagi memastikan penyiapan projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang kini mencapai tahap kemajuan kira-kira 90 peratus.

Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat dijadual berlangsung dari 22 Jun hingga 16 Julai 2026, manakala Dewan Negara akan bersidang dari 20 Julai hingga 4 Ogos 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan