KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan dicadang untuk mempertimbangkan pelaksanaan dasar kerja dari rumah (WFH) secara bersasar bagi sektor tertentu sebagai langkah mengurangkan impak harga minyak dunia akibat ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata cadangan tersebut dilihat sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan pergerakan harian rakyat, sekali gus menjimatkan penggunaan petrol dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi bahan api khususnya RON95.
Beliau berkata pelaksanaannya boleh dimulakan di pejabat kerajaan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), sebelum diperluas kepada sektor swasta yang bersesuaian mengikut keperluan operasi masing-masing.
“Pendekatan ini juga dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar, menjimatkan kos pengangkutan rakyat serta menyumbang kepada pengurangan penggunaan bahan api dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
“Dalam masa sama, langkah tersebut berpotensi membantu kerajaan mengurus perbelanjaan subsidi bahan api dengan lebih berhemat selain mengurangkan beban kos kepada rakyat yang terkesan dengan peningkatan harga minyak dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata pelaksanaan secara fleksibel seperti beberapa hari bekerja dari rumah dalam seminggu boleh dipertimbangkan tertakluk kepada kesesuaian fungsi jabatan, agensi dan organisasi.
Katanya pendekatan itu juga disifatkan selari dengan usaha meningkatkan keseimbangan kehidupan bekerja di samping menyokong agenda kelestarian melalui pengurangan penggunaan kenderaan dan pelepasan karbon.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini berkata cadangan kesesuaian pelaksanaan WFH bagi sektor awam akan diteliti terlebih dahulu dan berkemungkinan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Khas esok.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata kerajaan maklum bahawa sebahagian syarikat telah melaksanakan kaedah kerja hibrid pasca pandemik dengan melaksanakan pengaturan WFH.
Beberapa negara ASEAN termasuk Thailand, Vietnam dan Filipina mengumumkan langkah berjaga-jaga antaranya WFH bagi mengurangkan penggunaan tenaga selain menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan hibrid sebagai langkah penjimatan susulan konflik berlarutan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial