PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Seorang pakar oftalmologi gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa dia bertanggungjawab atas kecuaian perubatan sehingga menyebabkan seorang mekanik buta mata kiri dan memerintahkannya membayar ganti rugi RM1.28 juta.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Dr Choo Kah Sing, yang bersidang bersama-sama Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Sri Latifah Mohd Tahar, menolak rayuan Dr Lee Mun Toong selepas mendapati ia tidak mempunyai merit.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel itu, Choo berkata Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan dari segi undang-undang atau fakta apabila menerima naratif yang dikemukakan oleh T. Loganathan, dan menambah bahawa mahkamah perbicaraan adalah pihak yang paling tepat bagi menilai fakta kes.
“Jumlah ganti rugi yang diberikan tidak terlalu tinggi atau rendah… justeru, tiada kekhilafan berlaku yang membolehkan mahkamah ini campur tangan,” katanya.
Panel itu turut mengarahkan Dr Lee agar membayar kos sebanyak RM30,000.
Loganathan, yang memfailkan saman terhadap pakar oftalmologi itu atas kecuaian perubatan, mendakwa Dr Lee gagal mendiagnosis dan membuang dengan segera objek asing dalam mata kirinya sehingga menyebabkan jangkitan, glaukoma serta kehilangan penglihatan secara kekal.
Lelaki berusia 39 tahun itu berkata pada 6 Julai 2011, dia telah mengalami kecederaan pada mata kiri apabila terkena objek keras ketika menggunakan tukul untuk membuka bahagian pemampat enjin, dan telah diperiksa oleh Dr Lee yang melakukan pembedahan kecil pada kelopak mata untuk menjahit luka tersebut.
Keesokan harinya, Dr Lee sekali lagi menjalankan satu lagi pembedahan di bawah bius awam sebelum mata Loganathan di balut.
Pakar oftalmologi itu telah memaklumkan Loganathan bahawa tiada objek asing dalam matanya yang cedera dan memberi jaminan ia akan sembuh sepenuhnya.
Bagaimanapun, Loganathan terus mengalami kesakitan teruk serta penglihatan kabur selepas beberapa hari pembedahan, dan susulan aduannya, Dr Lee telah memutuskan agar dia menjalani imbasan CT yang mendedahkan bahawa terdapat objek asing yang tersekat di dalam matanya yang cedera.
Loganathan kemudian mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh di mana seorang pakar mendapati matanya telah dijangkiti.
Dia kemudian dirujuk ke Hospital Selayang untuk membuang objek itu dan dimasukkan ke wad pada 12 Julai 2011 di mana pembedahan dilakukan, dan selepas itu, Loganathan mengalami glaukoma serta kehilangan penglihatan secara kekal di mata kiri.
Dalam pembelaannya, pakar oftalmologi itu mendakwa beliau telah mengarahkan imbasan CT dijalankan ke atas Loganathan pada 8 Julai 2011 bagi menolak sebarang kemungkinan terdapat objek asing di mata kirinya namun lelaki itu enggan kerana masih mengalami sakit kepala.
Dr Lee juga mendakwa Loganathan telah dimaklumkan untuk mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur namun dia sebaliknya pergi ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, sebuah hospital kerajaan, untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Pada Julai 2023, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Loganathan telah berjaya membuktikan kes kecuaian perubatan terhadap pakar oftalmologi itu.
Mahkamah telah memerintahkan Dr Lee membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am; RM250,000 untuk kos ubat-ubatan dan rawatan bagi glaukoma; RM50,000 bagi penyakit psikologi; RM6,893.79 sebagai ganti rugi khas; RM1,000 untuk belanja perjalanan; RM1,000 bagi penjagaan di rumah; RM22,056.80 untuk kehilangan pendapatan sebenar; RM253,920 bagi kehilangan pendapatan masa depan dan RM500,000 sebagai ganti rugi teruk.
Dr Lee kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet, dalam penghakimannya mendapati Dr Lee gagal mengarahkan imbasan CT yang sepatutnya boleh mengesan objek asing itu lebih awal dan membolehkan rawatan segera dijalankan pada masa yang tepat.
Beliau juga mendapati Dr Lee telah secara palsu membuat catatan selepas itu dalam rekod perubatan untuk menunjukkan bahawa imbasan CT telah diarahkan namun ditolak oleh Loganathan.
Hakim itu memutuskan bahawa kegagalan menjalankan imbasan tersebut telah menyebabkan objek asing berkenaan kekal di dalam mata Loganathan sekali gus menyebabkan jangkitan yang akhirnya membawa kepada glaukoma serta kehilangan penglihatan.
Terdahulu, peguam Balakrishna Balaravi Pillai yang mewakili Loganathan berhujah bahawa imbasan CT hanya diarah oleh Dr Lee pada hari keenam selepas kecederaan, dan pada ketika itu, mata sudah dijangkiti dengan teruk.
Beliau juga berkata kelewatan dalam pengesanan menyebabkan pembedahan susulan bagi membuang objek asing itu menjadi lebih rumit.
Pada prosiding hari ini, peguam Fazleeza Azli dan Goh Lee Ding mewakili Dr Lee.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial