GEORGE TOWN, 13 Mac (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 14 April depan sebagai tarikh keputusan representasi kes Kementerian Kesihatan (KKM) menyaman dua syarikat atas tuduhan menyediakan perkhidmatan klinik perubatan swasta tidak berdaftar.
Hakim Irwan Suainbon menetapkan tarikh itu selepas pegawai pendakwa KKM Dr Mohd Fikri Mohammad Fishoul memaklumkan bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa untuk mendapatkan arahan lanjut berhubung representasi yang dikemukakan pihak pembelaan.
Terdahulu, peguam V. Parthipan yang mewakili Orang Kena Saman (OKS) kedua, Akademi Latihan CTA Sdn Bhd, memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya menyerahkan surat representasi pada 4 Mac lepas namun terdapat percanggahan dalam representasi dikemukakan sebelum ini dan pihaknya perlu mengemukakan representasi baharu.
Parthipan berkata pihaknya juga akan mengemukakan representasi berasingan bagi OKS pertama, iaitu syarikat RR Beaute Solution Sdn Bhd, memandangkan terdapat perbezaan fakta kes antara kedua-dua syarikat berkenaan.
Sebelum ini, kedua-dua syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) kerana menyediakan perkhidmatan klinik perubatan swasta tanpa pendaftaran yang sah di sebuah premis di Jalan Rangoon di sini, pada 22 Okt 2024.
Jika sabit kesalahan, syarikat terbabit boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial