| BERITA TERGEMPAR | Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | |
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang menjalankan kajian terperinci bagi meneliti pelaksanaan penambahbaikan skim perkhidmatan pembantu tadbir Gred 1 hingga 5 bagi kategori pembantu tadbir, pengkeranian dan kewangan.
Pengarah Bahagian Perjawatan Dan Organisasi JPA Datuk Pauzan Ahmar berkata ia termasuk syarat kelayakan, tempoh perkhidmatan, kekananan dan gaji sebelum pelaksanaannya selewat-lewatnya pada 1 Jan tahun depan.
“Kita ada lebih 125,000 penjawat awam dan 75 skim yang ada kaitan dengan N1 yang menjadi tulang belakang pentadbiran. Kalau kita melihat kepada kajian, kita tak boleh melihat satu gred sahaja, disentuh satu skim sahaja atau skim berikut yang dia (penjawat awam) akan naik. Kita akan tengok kedua-duanya sekali.
“Kami (JPA) diberi masa secukupnya untuk mengeluarkan satu keputusan bagaimana tindakan pelaksanaan kepada keputusan diumumkan Perdana Menteri. Kita sudah ada kerangka, carta Gantt dan sebagainya, cuma pengisiannya sedang dikaji,” katanya menerusi Podcast JPA bertajuk “Naik Gred? Betul Ke?” hari ini.
Pauzan berkata pihaknya juga akan mengambil kira kekananan bagi Gred 2, 3 dan 4 untuk kenaikan ke Gred 5, dengan pelaksanaannya dijangka secara berperingkat mengikut kelayakan semasa.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan seseorang penjawat awam yang dilantik ke Gred 5 berhadapan kemungkinan dipindahkan ke agensi atau lokasi lain seperti telah dipersetujui mereka ketika masuk bekerja.
Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan JPA menyediakan laluan kenaikan pangkat bagi penjawat awam Gred 1 dengan syarat-syarat khas ditetapkan bagi membolehkan penjawat awam gred rendah mempunyai peluang kemajuan kerjaya di bawah pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial