AM

JAS Keluarkan 103 Notis Arahan Pulangkan Kontena E-sisa Ke Negara Asal

13/03/2026 03:57 PM

SHAH ALAM, 13 Mac (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan 103 Notis Arahan kepada pihak yang bertanggungjawab menerima penghantaran barang (konsaini) bagi mengarahkan pemulangan semula kontena yang mengandungi sisa elektronik (e-sisa) ke negara asal.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan berkata ini susulan pemeriksaan menerusi Operasi Bongkar (Ops Bongkar) di Pelabuhan Klang yang dijalankan dari 3 hingga 9 Mac bertujuan menilai kandungan kontena yang disyaki membawa buangan elektronik secara tidak sah melalui pelabuhan berkenaan.

“Sehingga kini JAS telah mengeluarkan 103 Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pihak konsaini.

“Notis berkenaan mengarahkan kontena yang dikenal pasti mengandungi e-sisa dipulangkan semula ke negara asal dan pihak berkuasa kini sedang menunggu maklum balas daripada konsaini yang terlibat," menurut kenyataan itu. 

Ketua Setiausaha NRES Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin turut mengadakan tinjauan ke Pelabuhan Klang hari ini bersama pengurusan tertinggi kementerian serta pegawai JAS bagi meneliti perkembangan semasa selepas pelaksanaan Ops Bongkar.

Tinjauan tersebut diadakan susulan lawatan kerja Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ke pelabuhan yang sama pada 28 Feb lepas bagi menilai tahap pengoperasian penguatkuasaan di lapangan.

Semasa tinjauan itu, Anis Rizana turut mengadakan mesyuarat koordinasi bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) bagi memperkukuh kerjasama antara agensi serta mempercepat penyelesaian isu lambakan kontena berkenaan.

"Lawatan turun padang ini mencerminkan komitmen berterusan NRES dan JAS dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar dilaksanakan secara tegas, berkesan dan bersepadu, selaras dengan usaha Kerajaan MADANI menangani aktiviti penyeludupan e-sisa secara lebih menyeluruh," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan