AM

KPM Nafi Sesi Libat Urus Pihak Berkepentingan Tadika Swasta Diadakan Di Gereja

13/03/2026 08:31 PM

PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan bahawa sesi libat urus (SLU) bersama pihak berkepentingan tadika swasta zon utara yang berlangsung semalam diadakan di sebuah gereja seperti yang tular di media sosial.

Kesal dengan dakwaan tidak berasas itu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata SLU itu telah dilaksanakan di dewan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang berdaftar dengan kementerian.

Beliau berkata pemilihan lokasi itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk kemudahan dan fasiliti yang tersedia selain bertujuan mengetengahkan peranan sekolah antarabangsa sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan swasta negara.

"Pemilihan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption juga membuktikan sinergi yang baik antara KPM dan pihak penyedia pendidikan swasta," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dakwaan yang tular itu jelas berniat jahat dan cubaan menimbulkan kekeliruan dan memburukkan imej kementerian.

"Mengambil ibrah bulan Ramadan, KPM menyeru semua pihak untuk meningkatkan amal ibadah dan tidak terjebak dalam perbuatan fitnah," katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan