JENAYAH & MAHKAMAH

Mekanik Rugi Hampir RM250,000 Terperdaya Skim Pelaburan Tidak Wujud

15/03/2026 01:51 PM

KUANTAN, 15 Mac (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang mekanik kerugian hampir RM250,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat menerusi aplikasi WhatsApp. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 64 tahun itu pada awalnya menerima mesej daripada individu tidak dikenali, yang kemudiannya telah diyakinkan untuk membuat beberapa transaksi deposit wang ke akaun bank yang diberikan oleh suspek bagi tujuan pelaburan itu.

“Justeru, dalam tempoh 2 Sept hingga 3 Nov 2025 mangsa telah membuat sebanyak enam transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank berbeza menggunakan wang simpanannya. 

“Namun selepas semua transaksi dibuat, lelaki itu tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan dan individu terbabit juga gagal dihubungi oleh mangsa, yang kemudiannya menyedari dirinya telah ditipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan