AM

40 Peratus Hasil Sabah Muktamad, Kerajaan Kekal Komited Tunaikan Tuntutan - Anwar

15/03/2026 09:36 PM

KOTA KINABALU, 15 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan pendirian Kerajaan MADANI untuk memberikan komitmen penuh dalam usaha merealisasikan tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan Persekutuan sedar tuntutan itu adalah muktamad dan tidak ada rayuan, namun perbincangan terperinci mengenainya perlu dilakukan bagi memastikan ia dapat diselesaikan secara terbaik demi manfaat Sabah dan rakyatnya.

"Kita (kerajaan Persekutuan) tidak merayu kes 40 peratus (hasil Sabah) dan itu sudah muktamad. Bagi pihak kerajaan, kami telah memberikan jaminan, ini adalah komitmen yang tegas, dan keputusan dasar

"Saya telah nyatakan dalam Kabinet dan Parlimen, tiada rundingan. Kami komited untuk menunaikan komitmen 40 peratus kepada rakyat Sabah,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 Peringkat Negeri Sabah di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Anwar berkata komitmen kerajaan untuk menunaikannya dapat dilihat menerusi pertemuan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican mewakili kerajaan Persekutuan, manakala Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong mewakili kerajaan negeri dalam memastikan perincian mekanisme pelaksanaan tuntutan dilakukan dengan lebih jelas.

"Komitmen kita berdasarkan MA63 itu tidak dipertikai. Kalau lihat kenyataan dan keputusan mahkamah sendiri pun sudah ada komitmen perjanjian interim antara kerajaan Persekutuan dan negeri bermula akhir 2022 dan pada 2023 dan seterusnya setelah kami (Kerajaan MADANI) mengambil alih tampuk pentadbiran negara.

“Jadi soal itu pada saya bukan lagi isu (tetapi) yang ditanya adalah bagaimanakah pelaksanaannya," kata beliau.

Pada 17 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula hak tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan pentingnya pembangunan kemudahan asas seperti restoran kecil, gerai dan warung diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat.

“Ia menarik pelanggan kira-kira 85 peratus tetapi kadangkala perencanaan pelan pembangunan dianggap ketinggalan dan sebab itu kedudukan gerai-gerai paling daif. Di Kuala Lumpur telah saya gerakkan sama ada diperbaiki atau gerai baharu supaya keselesaan dan manfaat majoriti rakyat.

“Maka, perencanaan kita itu harus diubah selain kepentingan menarik pelancong ke negara kita,” kata beliau.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan