AM

Rakyat Diseru Pelihara Keharmonian, Elak Isu Sensitif Jejas Perpaduan

16/03/2026 11:10 AM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Rakyat Malaysia diseru agar terus memelihara keharmonian dan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kekuatan negara khususnya  ketika dunia berdepan pelbagai cabaran yang berpotensi menggugat perpaduan masyarakat. 

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata rakyat tidak seharusnya membiarkan isu sensitif berkaitan agama, kaum dan institusi diraja termasuk sentimen rasisme meretakkan hubungan yang telah dibina sejak sekian lama.

Beliau berkata sekiranya wujud perbezaan pandangan, ruang dialog dan meja rundingan sentiasa tersedia kepada semua pihak namun ia perlu dimanfaatkan dengan kebijaksanaan serta kematangan, bukan dengan emosi.

“Malaysia berdiri teguh kerana kepelbagaian rakyatnya. Kita lebih kuat bila kita bersama. Bersama untuk saling memahami, bersama untuk menghormati, bersama untuk menerima dan bersama untuk meraikan perbezaan yang menjadikan negara ini unik dan istimewa.

“Marilah kita memilih jalan kebijaksanaan, menolak kebencian dan terus memelihara semangat kebersamaan. Kerana Malaysia adalah rumah kita bersama yang kita bina, jaga dan wariskan kepada generasi akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan