EKONOMI

PNB Tolak Tawaran Sunway Ambil Alih Saham IJM

16/03/2026 06:27 PM

Oleh Saraswathi Muniappan

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) memutuskan untuk tidak menerima tawaran pengambilalihan sukarela (VTO) bagi 13.5 peratus kepentingan miliknya dalam IJM Corporation Bhd yang ditawarkan oleh Sunway Corporation Bhd.

Syarikat pengurusan dana terbesar Malaysia itu menegaskan keputusan untuk tidak menerima tawaran di bawah VTO itu telah dibuat oleh Jawatankuasa Pelaburan Lembaga Pengarah (BIC) selepas menjalankan penilaian teliti, menyeluruh dan bebas, selaras dengan proses pelaburan serta rangka kerja tadbir urus PNB.

“Penilaian ini dibuat berdasarkan pertimbangan komersial dan dipandu oleh tanggungjawab fidusiari kami untuk sentiasa bertindak demi kepentingan terbaik para pemegang unit PNB, sejajar dengan tujuan dan mandat kami,” menurut PNB dalam kenyataan bagi menjawab pertanyaan Bernama mengenai keputusan pelaburan berhubung perkara terbabit.

Menjelaskan selanjutnya, PNB menyatakan pertimbangan itu turut merangkumi beberapa faktor, termasuk anggaran nilai intrinsik asas saham IJM berbanding harga tawaran, komponen tunai yang terhad dalam tawaran serta potensi peningkatan masa depan nilai saham yang akan diterbitkan berbanding harga terbitannya.

Turut diambil kira adalah aspek prospek dividen IJM serta potensi penciptaan nilai jangka panjang syarikat, kata PNB yang menambah keputusan berkenaan dibuat sepenuhnya berdasarkan pertimbangan strategik sebagai pelabur institusi jangka panjang.

“Ia sama sekali tidak bertujuan untuk menyampaikan, mempengaruhi atau memberi apa‑apa gambaran mengenai bagaimana pemegang saham IJM yang lain harus membuat keputusan. Semua pemegang saham IJM (sewajarnya) membuat penilaian bebas mereka sendiri,” menurut kenyataan itu. 

PNB turut menekankan bahawa harga pasaran saham IJM sejak sekian lama telah tidak mencerminkan nilai asas syarikat berkenaan.

“Oleh itu, tanpa mengira apa juga keputusan VTO, kami ingin menitikberatkan bahawa Lembaga Pengarah dan Pengurusan IJM untuk perlu memberi keutamaan kepada usaha bagi merealisasikan nilai berkenaan demi manfaat semua pemegang saham.”

Selain itu, PNB menegaskan pendiriannya yang sentiasa komited terhadap amanah pengurusan yang berdisiplin, tadbir urus kukuh serta membuat keputusan pelaburan yang berhemat bagi melindungi dan meningkatkan nilai jangka panjang untuk para pemegang unit.

Untuk rekod pada 12 Januari 2026, Sunway telah mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memiliki kesemua saham biasa 3.51 bilion dalam IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham yang melibatkan nilai pertimbangan keseluruhan kira-kira RM11 bilion yang diselesaikan menerusi gabungan tunai dan terbitan saham-saham biasa baharu Sunway.

Bagaimanapun pada Jumaat lepas, penasihat bebas IJM telah merumuskan tawaran pengambilalihan oleh Sunway pada harga RM3.15 sesaham sebagai tidak adil serta tidak munasabah dan mengesyorkan pemegang saham menolak tawaran berkenaan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IJM menyatakan penasihat dilantik, M&A Securities Sdn Bhd menyifatkan harga tawaran itu adalah pada diskaun antara RM2.69 hingga RM3.33 iaitu kira-kira 46.1 peratus hingga 51.4 peratus berbanding anggaran nilai saham IJM dalam julat RM5.84 hingga RM6.48.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan