AM

KPDN KL Tempatkan 99 Pegawai Pantau Skim Harga Maksimum Aidilfitri

16/03/2026 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menempatkan 99 pegawai dan anggota penguat kuasa di lokasi strategik bagi memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2026.

Pengarah KPDN WPKL Mohd Sabri Seman berkata kesemua pegawai dan anggota berkenaan ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk pasar awam dan pusat membeli-belah bagi memastikan pematuhan peniaga terhadap skim itu yang berkuat kuasa selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac.

Beliau berkata tempoh pelaksanaan SHMMP HRP 2026 ditetapkan secara munasabah berdasarkan penilaian keadaan semasa bagi memastikan kawalan harga dilaksanakan secara berkesan tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label harga berwarna merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Diingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Sabri berkata sebanyak 27 jenis barangan dikenal pasti sebagai barangan harga terkawal di bawah skim berkenaan pada tahun ini berbanding 26 barangan tahun lepas antaranya bawang kuning besar, bawang merah besar, daging lembu tempatan dan ikan kembung

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah barangan yang dikawal berbeza mengikut negeri iaitu 23 barangan di Sabah dan Sarawak, 24 di Semenanjung, 23 di WPKL serta 22 di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Daging kerbau import (India) dikawal di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja, daging lembu import dikawal (Sarawak), daging lembu tempatan (kecuali daging batang pinang) (Semenanjung). 

“Ikan aya atau tongkol (saiz antara seekor hingga dua ekor setiap kilogram (kg) (dikawal di Pahang, Terengganu dan Kelantan), ikan demuduk, sagai, cermin atau cupak (saiz antara tiga hingga lima ekor setiap kg) dikawal di Sabah,” katanya. 

Beliau berkata orang ramai digalakkan menyalurkan aduan berkaitan harga atau bekalan barangan melalui pelbagai saluran disediakan termasuk bilik gerakan KPDN WPKL di talian 03-4045 4680/467, WhatsApp (019-848 8000), pusat panggilan1(-800-886-800) dan aplikasi Ez ADU KPDN.

Selain itu, katanya KPDN WPKL turut melaksanakan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Aidilfitri di 11 Parlimen sempena Aidilfitri dengan 174 program telah dilaksanakan setakat ini, membolehkan pengguna menikmati penjimatan antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan