KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kota Buku (PKB) Adibah Omar muncul tokoh pertama daripada industri perbukuan Asia Tenggara yang disenarai pendek sebagai finalis bagi PublisHer Excellence Awards 2026.
PKB dalam kenyataan memaklumkan, Adibah tersenarai untuk kategori “Inovasi” bersama Monique Leite, pengasas dan pengarah PlenaVoz dari Brazil serta Kinga Jentetics, ketua pegawai eksekutif dan pengasas bersama PublishDrive dari Amerika Syarikat.
“Pencalonan ini menjadikan Adibah tokoh pertama daripada industri perbukuan Asia Tenggara yang disenarai pendek bagi anugerah itu, sekali gus mencerminkan perhatian masyarakat antarabangsa terhadap perkembangan industri buku di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
PKB berharap pencalonan Adibah menjadi dorongan kepada seluruh pemain industri untuk terus memperkukuh ekosistem perbukuan negara, serta membawa kemenangan anugerah tersebut kepada Malaysia dan industri buku tanah air.
Sementara itu, Adibah berkata pengiktirafan itu adalah penghormatan kepada usaha kolektif pelbagai pihak dalam membangunkan ekosistem industri buku negara.
“Pencalonan ini bukan sahaja mewakili Perbadanan Kota Buku, ia usaha bersama pemain industri buku Malaysia dalam memperkukuh budaya ilmu dan memperluas akses kepada bahan bacaan,” katanya.
Beliau berkata perkembangan industri buku negara turut diperkukuh melalui pelbagai inisiatif inovasi kerajaan, termasuk pelaksanaan Baucar Buku MADANI 2024 dan Baucar Buku Guru MADANI 2025 melalui Kementerian Pendidikan bagi memperluas akses kepada buku serta menyemarakkan budaya membaca.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial