KOTA KINABALU, 17 Mac (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mencatatkan peningkatan jumlah sisa pepejal antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding hari biasa berikutan pertambahan aktiviti perniagaan dan operasi bazar.
Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal DBKK Leong Tze Fui berkata secara purata bandar raya itu merekodkan antara 400 hingga 500 tan sisa pepejal sehari pada hari biasa dan sepanjang Ramadan, purata yang direkodkan ialah kira-kira 500 hingga 600 tan sehari.
“Penambahan jumlah tapak bazar Ramadan jelas memberi kesan signifikan terhadap peningkatan sisa pepejal. Walaupun berlaku peningkatan antara 15 hingga 20 peratus, DBKK masih mampu menguruskan tambahan itu dengan baik,” katanya kepada Bernama.
Selain operasi bazar Ramadan, Leong berkata peningkatan jumlah sisa pepejal turut dipengaruhi oleh pertambahan aktiviti di kawasan perumahan dan komersial termasuk hotel yang menawarkan bufet berbuka puasa.
Leong berkata DBKK berupaya mengendalikan peningkatan sisa pepejal itu menerusi operasi pembersihan, terutamanya yang dilaksanakan secara berjadual di semua tapak bazar Ramadan di sekitar bandar raya itu.
Beliau berkata sebanyak 30 petugas pembersihan ditugaskan secara bergilir-gilir bagi memastikan kerja pembersihan di tapak bazar lancar.
“Bazar Ramadan biasanya beroperasi dari 1 tengah hari hingga 7 malam. Sejurus tamat, pasukan pembersihan DBKK terus menjalankan kerja pembersihan.
“DBKK tidak mahu ada tanggapan sampah tidak diuruskan dengan baik selepas operasi bazar Ramadan. Kita mahu tapak sentiasa bersih, tidak ada longgokan sampah atau sampah bertaburan dan tiada bau busuk,” katanya.
Berhubung cabaran yang dihadapi, Leong berkata antara yang dihadapi pasukan pembersihan ialah peniaga bazar masih beroperasi melepasi waktu ditetapkan serta pembuangan sisa minyak, arang dan minuman secara tidak terkawal di tapak berniaga.
“Kita dapati ada peniaga tidak meletakkan lapik di bawah tempat memanggang (makanan) sehingga menyebabkan tapak berminyak dan kotor selain ada yang membuang sisa minuman atau minyak ke dalam parit sehingga menyebabkan bau busuk,” katanya.
Pada tahun ini, Leong berkata dianggarkan 20 hingga 25 tapak bazar Ramadan beroperasi di sekitar bandar raya berada di bawah pemantauan DBKK menerusi kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dan Jabatan Kesihatan Sabah.
Beliau berkata jabatannya buat masa ini menumpukan kepada pendekatan pendidikan dan kesedaran kepada peniaga bazar dengan memberi peringatan secara lisan bagi memastikan mereka memahami kepentingan menjaga kebersihan kawasan perniagaan.
Bagaimanapun, tindakan lebih tegas akan diambil terhadap peniaga yang masih gagal menguruskan sisa pepejal meskipun sudah banyak diberi peringatan mengenai perkara itu.
“Peniaga yang masih mengulangi kesalahan akan dimaklumkan secara bertulis kepada Jabatan Pelesenan (DBKK) untuk menyenaraihitamkan penama daripada sebarang aktiviti menjaja pada masa akan datang terutama bazar Ramadan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial