KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Pendakwah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Arun Dorasamy antara tiga individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen beberapa negeri atas pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam.
Zamri Vinoth, 42, atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur; Arun atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy, 56, pula dituduh di Mahkamah Majistret Jawi manakala pemandu e-hailing P Mahendra Bhoopaty, 53, di Mahkamah Majistret Seremban.
Bagaimanapun, Zamri Vinoth dan Arun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu manakala Mahendra Bhoopaty didenda RM4,000 atau dipenjara tujuh bulan, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan serupa.
Di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan, Zamri Vinoth didakwa atas pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam berhubung penganjuran perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, bulan lepas.
Dia didakwa membuat kenyataan di akaun Facebook miliknya "Zamri Vinoth", pada 12.22 tengah hari, 3 Feb lepas, yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kenyataan itu telah dilihat dan didengar oleh seorang lelaki berusia 45 tahun di Restoran Nasi Kandar Kudu, Jalan Tunku Abdul Rahman.
Arun pula dituduh di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad atas dakwaan membuat kenyataan di akaun Instragram miliknya, yang dilihat dan didengar oleh individu yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam di sebuah pusat beli-belah di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, pada 3.45 petang, 12 Mac 2025.
Kenyataan itu mengajak Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia mengadakan protes jalanan sekiranya tiada tindakan diambil terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth berhubung isu video kontroversi melibatkan tiga penyampai radio tempatan didakwa mempersenda satu perayaan agama.
Di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli, Mahendra Bhoopaty berdepan pertuduhan memuat naik video di Facebook dengan mengeluarkan kenyataan yang mungkin menyebabkan kegentaran awam, terdorong supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Dalam video berkenaan, dia dilaporkan berkata: “kalau kuil India di bawah jambatan haram, yang ini masjid bawah jambatan flyover macam mana? haram ke halal, cuba terangkan”.
Perbuatan itu dilakukan pada 27 Feb lepas kira-kira 12.30 tengah hari di Masjid Jamek Dato' Bandar Hj Ahmad Rasah, Kampung Dato Mansor, Seremban.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu di Alor Setar, pertuduhan terhadap aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang didakwa merosakkan simbol suci dalam agama Hindu di Mahkamah Langkawi hari ini ditangguhkan ke 17 Mei depan kerana orang kena tuduh (OKT) berada di luar negara.
Pengarah Pendakwaan Kedah Datuk Khairul Anuar Abdul Halim yang mengendalikan prosiding itu berkata pihak pendakwaan memohon penangguhan bagi membolehkan OKT dibawa ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan.
“Dia tidak hadir pada hari ini untuk dituduh mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan. Oleh itu, kami memohon satu tarikh baharu bagi sebutan kes itu pada 17 Mei depan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Khairul Anuar berkata pada prosiding di hadapan Majistret Hemy Annerina Haja Mydin, beliau turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa berdasarkan carian pihaknya, Tamim Dahri dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok, Thailand pada kelmarin.
Bagaimanapun, katanya pihak pendakwaan masih tidak mempunyai dokumen rasmi untuk menyokong maklumat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial