KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) mengakhiri program Dana Pakej Insurans Permulaan i-MULA 50 dengan kira-kira 90,000 rakyat Malaysia mendaftar untuk mendapatkan perlindungan.
Persatuan itu berkata program i-MULA mencerminkan sambutan kukuh orang ramai serta peningkatan kesedaran terhadap kepentingan perlindungan kewangan.
Sehingga kini, program itu telah merekodkan 2,471 tuntutan berjumlah lebih RM2.14 juta, sekali gus menyediakan bantuan kewangan tepat pada masanya kepada pemegang polisi dan keluarga mereka ketika diperlukan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark O’Dell berkata i-MULA 50 membuktikan keupayaan industri apabila bersatu dengan matlamat bersama untuk memperluas perlindungan dan menyokong usaha pembangunan negara.
“Kadar penyertaan yang menggalakkan serta pengalaman tuntutan mencerminkan keperluan sebenar di lapangan dan nilai perlindungan mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan.
Program yang berakhir pada 31 Dis, 2025 itu merupakan pencapaian penting dalam usaha kolektif industri untuk memperkukuh daya tahan kewangan serta memperluas perlindungan insurans, khususnya dalam kalangan segmen masyarakat yang kurang mendapat liputan.
Meskipun program i-MULA 50 telah berakhir, LIAM dan syarikat anggotanya kekal komited untuk merapatkan jurang perlindungan di Malaysia serta membangunkan penyelesaian perlindungan mampan yang memenuhi keperluan rakyat yang sentiasa berubah.
Program itu menawarkan subsidi sebanyak RM50 bagi setiap polisi yang layak, dengan premium bermula serendah RM75, menjadikan pemegang polisi hanya perlu membayar RM25 untuk melayakkan diri menerima subsidi dan mendapatkan pelan perlindungan di bawah i-MULA 50.
“Inisiatif ini membantu golongan muda mengambil langkah pertama untuk melindungi masa depan mereka serta memahami nilai sebenar perlindungan insurans.
“Program ini turut menyaksikan kira-kira RM4.5 juta daripada peruntukan RM5 juta digunakan, menunjukkan keberkesanan capaian serta pengurusan dana yang berhemah bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran,” katanya.
LIAM berkata industri akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk memperkukuh literasi kewangan, meningkatkan kesedaran risiko serta mempertingkat daya tahan kewangan jangka panjang rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial