KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- YTL AI Labs bekerjasama dengan Nvidia untuk memajukan keupayaan kecerdasan buatan (AI) berdaulat Malaysia dengan memanfaatkan model terbuka Nemotron keluaran Nvidia.
Dalam satu kenyataan hari ini, unit penyelidikan dan pembangunan AI di bawah YTL Power International Bhd itu berkata inisiatif tersebut telah menghasilkan pembangunan model Ilmu-Nemo-30B.
Ilmu-Nemo-30B merupakan model AI yang mampu melaksanakan tugas secara lebih berautonomi dan berasaskan matlamat berkeupayaan tinggi yang diperhalusi menggunakan set data tempatan Malaysia, dengan mencatat peningkatan ketara sebanyak 23 peratus dalam penanda aras MalayMMLU (pemahaman bahasa pelbagai tugas), katanya.
“Model Ilmu-Nemo-30B merupakan tambahan kepada rangkaian model AI yang dibangunkan di Malaysia, dengan keupayaan dipertingkat bagi melaksanakan tugasan kompleks yang memerlukan pemahaman mendalam terhadap konteks tempatan.
“Model ini dilatih menggunakan set data tempatan yang dihoskan pada persekitaran selamat YTL AI Cloud,” menurut kenyataan itu.
Ia berkata inisiatif berkenaan sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam membangunkan AI bertaraf dunia yang selari dengan nilai budaya, bahasa dan etika negara.
Model Ilmu-Nemo-30B direka khusus untuk memahami dengan lebih mendalam serta menjana kandungan dalam Bahasa Melayu dan dialek tempatan, kata unit itu.
Katanya, peningkatan 23 peratus dalam penanda aras MalayMMLU, iaitu satu ujian ketat merangkumi pelbagai domain pengetahuan dalam Bahasa Melayu membuktikan keupayaan model tersebut mengendalikan pertanyaan dan tugasan kompleks yang relevan dengan konteks Malaysia, termasuk dalam sektor perkhidmatan awam dan penyelesaian perusahaan.
“Model Ilmu-Nemo-30B melengkapi model multimodal utama Ilmu, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan kepada pembangun dan perusahaan untuk membina aplikasi AI yang lebih canggih.
“Ia dihoskan pada YTL AI Cloud bagi memastikan pemastautinan data dan keselamatan, menjadikannya sesuai untuk sektor kerajaan dan industri yang mempunyai keperluan data sensitif,” katanya.
Pengarah Urusan YTL Power International Bhd Yeoh Seok Hong berkata inisiatif bersama Nvidia itu merupakan satu lonjakan besar dalam misi syarikat untuk membangunkan keupayaan kecerdasan buatan (AI) berdaulat bagi Malaysia.
“Dengan menggabungkan teknologi AI Nvidia dan kepakaran tempatan serta infrastruktur kebangsaan YTL, kami kini mencipta enjin inovasi yang berkuasa.
“Model ILMU-Nemo-30B membuktikan apa yang boleh dicapai apabila kekuatan global diselaraskan dengan matlamat kebangsaan, sekali gus memastikan kemajuan AI yang dibangunkan adalah selamat, inklusif dan berteraskan identiti negara,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs Foong Chee Mun berkata perjalanan pembangunan Ilmu adalah berteraskan inovasi yang berterusan.
“Kami menyediakan akses kepada pembangun dan perniagaan tempatan kepada model agentik tercanggih yang disesuaikan mengikut keperluan tempatan.
“Ini bagi membolehkan mereka membina penyelesaian yang lebih pintar, berkesan dan selari dengan budaya tempatan, serta mampu bersaing di peringkat global. Kami mengalu-alukan rakan kerjasama untuk meneroka potensi baharu yang ditawarkan model ini,” katanya.
Dilancarkan pada Sidang Kemuncak AI ASEAN pada Ogos tahun lepas, Ilmu merupakan AI Malaysia yang dibangunkan oleh rakyat tempatan untuk kegunaan negara.
Dengan keupayaan memahami konteks budaya serta daya saing global, Ilmu dibangunkan berasaskan infrastruktur nasional yang selamat bagi menyokong pembangunan AI berdaulat di Malaysia.
Rangkaian model Ilmu boleh diakses melalui antara muka pengaturcaraan aplikasi (API), dengan organisasi seperti Farben, J&C Pacific dan Swipey telah mula menyepadukan keupayaannya dalam aplikasi masing-masing.
Aplikasi perbualan AI tempatan, IlmuChat, kini tersedia dalam versi beta awam dan boleh dimuat turun melalui Apple App Store serta Google Play.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial