AM

NAFAS Catat Untung Tertinggi 2024, Agih Dividen Lebih RM21 Juta Kepada Peladang

17/03/2026 09:43 PM

PETALING JAYA, 17 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencatat keuntungan tertinggi dalam sejarahnya sebanyak RM221 juta bagi tahun kewangan 2024 sejak penubuhannya pada 1972.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM21,002,941 diagihkan kepada 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) yang seterusnya memberikan manfaat kepada 212 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Reformasi NAFAS 2.0 bukan sekadar gimik atau slogan, ia sudah pun menunjukkan hasil kerana dijalankan dengan urus tadbir yang telus, ketelusan dipertingkatkan dan disiplin kewangan ditegakkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dividen PPN dan Majlis Iftar NAFAS 2026 di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) (Pembangunan) Datuk Luqman Ahmad dan Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin.

Beliau berkata pelaksanaan agihan dividen berkenaan dipercepat melalui perintah khas bagi memastikan kebajikan ahli peladang terus terpelihara.

“Saya akan menggunakan kuasa yang ada di bawah undang-undang untuk membantu ahli peladang. Begitu juga ketika saya membantu NAFAS mendapatkan RM20 juta, walaupun kerajaan tidak terikat atau wajib untuk memberikan peruntukan.

“Alhamdulillah, kerajaan setuju untuk beri RM20 juta dan dapat kita beransur-ansur membawa NAFAS ke arah yang lebih maju sekarang dan pada masa yang akan datang,” katanya.

Bagi keputusan tahun kewangan 2025 pula, beliau berkata perkara itu masih dalam proses dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat atau selewat-lewatnya pada tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad memberikan jaminan bahawa bekalan barangan asas seperti daging dan ayam adalah mencukupi menjelang Aidilfitri dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik.

Beliau berkata bekalan dijangka kekal stabil sehingga pertengahan tahun ini di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, namun mengakui sebarang kesan daripada faktor luar seperti konflik antarabangsa mungkin hanya melibatkan kenaikan harga dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Kalau terkesan pada masa akan datang (perang Amerika Syarikat dan Iran) mungkin dari sudut harga. Barangnya cukup, sebab apabila harga petrol naik, kita akan lihat kenaikan harga semua ini. Kita akan buat pengumumanlah dari semasa ke semasa. 

“Kita juga akan ambil pandangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan dan semua yang terlibat sebab barang-barang yang ada ini barang yang disediakan dulu, jadi kesannya mungkin dirasai dua hingga tiga bulan akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan