AM

Kos Bahan Mentah Meningkat, Suri Rumah Kekal Jual Biskut Raya Pada Harga Rahmah

18/03/2026 04:46 PM

GUA MUSANG, 18 Mac (Bernama) -- Kenaikan hampir 50 peratus kos bahan mentah ketika ini tidak menghalang seorang suri rumah, Ainie Alia Rosli@Rasli menjual biskut raya pada harga “rahmah” kepada pelanggannya.

Pengusaha bakeri dari rumah berusia 42 tahun itu berkata kesemua tujuh jenis biskut raya yang dihasilkannya sejak bulan lepas dijual pada harga RM15, RM19 dan RM20 sebekas.

Ainie Alia berkata dia nekad mengekalkan harga jualan seperti tahun lepas dan mengurangkan margin keuntungan, selain masih menggunakan bahan yang sama tanpa mengubah resipi asal.

"Harga bahan seperti mentega, minyak sapi dan serbuk koko menunjukkan peningkatan ketara hingga 50 peratus sejak kebelakangan ini, tetapi saya cuba kekalkan harga mampu milik supaya semua orang boleh membeli biskut raya walaupun dalam keadaan berjimat. 

"Alhamdulillah, untuk tahun ini tempahan daripada pelanggan meningkat dan antara biskut raya menjadi pilihan mereka ialah biskut arab, biskut coklat kacang hazel dan biskut emping jagung," katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Saujana Harmoni di sini baru-baru ini.

Ainie Alia yang berpengalaman selama 14 tahun dalam bidang bakeri berkata dia mempunyai dua pekerja bagi membantunya menyiapkan tempahan sebanyak 3,000 bekas biskut raya tahun ini bermula 8 pagi hingga 9 malam setiap hari.  

"Saya perlu memastikan biskut dihasilkan berkualiti bagi mengekalkan kepercayaan pelanggan dan ejen yang setia membuat tempahan setiap kali musim perayaan bukan sahaja di Gua Musang tetapi juga tempahan di sekitar Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Menurutnya sebahagian bekalan bahan mentah untuk menghasilkan biskut raya telah dibeli sebelum Ramadan di Kota Bharu sebagai langkah mendapatkan harga yang lebih murah dan berpatutan.

"Bagaimanapun, saya masih perlu menambah bekalan bahan asas kerana mendapat permintaan yang tinggi berbanding tahun lepas. 

"Sepanjang Ramadan ini saya telah berulang-alik kira-kira empat kali ke Kota Bharu untuk mendapatkan bekalan," katanya yang turut menghasilkan biskut semperit, tart Cadbury, tart nanas dan coklat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan