SEREMBAN, 19 Mac (Bernama) -- Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker mengesahkan Ketua Bersatu Port Dickson Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Che GuBard, telah dipecat daripada parti berkenaan.
Beliau berkata pemecatan itu berkuat kuasa semalam melalui surat dikeluarkan lembaga disiplin Bersatu.
"Benar, beliau dipecat... terdapat aduan yang dikemukakan kepada Che GuBard, dan beliau didapati melanggar perlembagaan parti.
"Saya tidak dapat mendedahkan butiran aduan tersebut kerana ia telah disalurkan terus kepada Lembaga Disiplin parti," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Labu itu juga berkata tiada mana-mana individu yang lebih besar daripada parti, dan semua ahli tertakluk kepada Perlembagaan Bersatu.
Mohamad Hanifah berkata sekiranya berlaku pelanggaran, tindakan boleh diambil mengikut lunas perundangan parti, dan beliau menasihati mana-mana ahli berdepan isu di peringkat bahagian atau lain-lain yang berkaitan supaya menggunakan saluran rasmi Bersatu.
"Sebagai antara individu paling lama dalam Bersatu di negeri ini, saya menyeru semua ahli agar menghormati Perlembagaan parti... apabila kita menghormatinya, parti akan menjadi lebih kuat tanpa menimbulkan masalah yang boleh menggugat kestabilannya," kata beliau.
Sebelum ini, Che GuBard berkata pemecatan itu dimaklumkan oleh Setiausaha Lembaga Disiplin Bersatu melalui aplikasi WhatsApp pada 6 petang semalam.
Bersatu dilanda kemelut dalaman di antara Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin sehingga menyebabkan Ahli Parlimen Larut itu, yang juga Ketua Pembangkang, dipecat keahlian parti pada 13 Feb lepas.
Beberapa pemimpin lain turut dipecat dan digantung keahlian selepas penyingkiran Hamzah termasuk bekas Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan bekas Ketua Wanita Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial