AM

Jadikan Aidilfitri Pemangkin Bina Sabah Lebih Maju, Sejahtera - Hajiji

19/03/2026 03:24 PM

KOTA KINABALU, 19 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengajak seluruh rakyat Sabah untuk menjadikan kemeriahan sambutan Aidilfitri sebagai pemangkin bagi memperbaharui tekad, mempererat perpaduan dan melipatgandakan usaha demi membina negeri yang lebih maju.

Beliau berkata komitmen dan kebersamaan seluruh rakyat amat penting bagi memastikan kemajuan itu sejajar dengan matlamat di bawah naungan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Sesungguhnya, Aidilfitri adalah simbol kemenangan melawan hawa nafsu, kemenangan mendidik jiwa dengan kesabaran dan keikhlasan serta platform terbaik untuk memperkukuh silaturahim sesama keluarga, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya.

"Di bumi Sabah yang bertuah ini, Aidilfitri diraikan dalam suasana muhibah oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama. Inilah kekuatan sebenar kita, iaitu perpaduan dalam kepelbagaian," katanya dalam perutusan Aidilfitri 2026 hari ini.

Hajiji juga berkata nilai hormat-menghormati, toleransi dan kebersamaan yang diwarisi sekian lama di Sabah harus terus dipelihara memandangkan ia adalah asas kepada kestabilan serta kemajuan.

Menyentuh mengenai isu pentadbiran, beliau berkata kerajaan negeri kekal komited dalam memperkukuh kestabilan politik yang sedang dinikmati di Sabah ketika ini kerana ia adalah prasyarat utama kepada pembangunan dan kemakmuran.

Bagi memastikan momentum itu diteruskan, Hajiji berkata kerajaan negeri telah merangka hala tuju yang lebih strategik dan menyeluruh melalui Pelan Pembangunan SMJ 2.0 untuk memacu Sabah ke tahap kemajuan lebih tinggi.

"SMJ 2.0 bukan sekadar pelan di atas kertas sebaliknya ia merupakan komitmen jitu untuk mentransformasikan ekonomi negeri, memperkasa modal insan dan memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan