EKONOMI

Keuntungan Bersih Yinson Holdings Susut Kepada RM683 Juta Pada Tahun Kewangan 2026

19/03/2026 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Keuntungan bersih Yinson Holdings Bhd menyusut kepada RM683 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 (TK2026) berbanding RM1.24 bilion pada TK2025.

Syarikat logistik itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata penurunan keuntungan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah dalam aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC), selain perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi.

Ia susulan peralihannya daripada fasa EPCIC intensif perbelanjaan modal (Capex) kepada fasa operasi. 

Keuntungan yang lebih rendah itu juga terjejas oleh penurunan rosot nilai yang diiktiraf bagi segmen tenaga boleh baharu dan teknologi hijau, serta ketiadaan keuntungan sekali sahaja yang direkodkan pada suku keempat tahun kewangan 2025, termasuk keuntungan pelupusan dan kredit cukai. 

Sementara itu, perolehan juga merosot kepada RM5.44 bilion pada TK2026 daripada RM7.60 bilion pada TK2025, didorong oleh pengeluaran luar pesisirnya yang merekodkan sumbangan lebih rendah daripada aktiviti EPCIC, apabila kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO), seperti FPSO Maria Quiteria, FPSO Atlanta, dan FPSO Agogo memulakan tempoh sewaan mereka. 

Ini sebahagiannya diimbangi oleh pengiktirafan pendahuluan keuntungan yang timbul daripada pembelian pinjaman projek berkaitan dengan FPSO Atlanta sebanyak RM340 juta pada suku ketiga TK2026, dan sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi FPSO Maria Quiteria, FPSO Atlanta dan FPSO Agogo apabila tempoh sewaan masing-masing bermula pada 15 October 2024, 31 Disember 2024 dan 12 Ogos 2025,

Pada suku keempat TK2026, keuntungan bersih syarikat menyusut kepada RM228 juta berbanding RM643 juta pada tahun sebelumnya, susulan perolehan yang lebih rendah dan perbelanjaan pentadbiran yang diiktiraf lebih tinggi pada suku semasa. 

Pendapatan susut sedikit kepada RM1.12 bilion daripada RM1.39 bilion bagi tempoh yang sama sebelumnya, berikutan sumbangan yang lebih rendah daripada aktiviti EPCIC, memandangkan FPSO Agogo memulakan tempoh sewaanya pada 12 Ogos 2025 (suku keempat TK2026) dan ketiadaan keuntungan sekali sahaja daripada pembelian pinjaman projek berkaitan dengan FPSO Atlanta. 

Kumpulan itu berkata sistem tenaga global sedang mengalami peralihan struktur yang mengukuhkan permintaan yang mampan bagi kedua-dua pengeluaran minyak dan gas, selain mempercepatkan pelaburan dalam sumber tenaga boleh baharu. 

“Dalam tempoh terdekat, faktor seperti ketidaktentuan geopolitik, kebimbangan keselamatan tenaga, akses kepada modal dan disiplin modal dalam kalangan syarikat minyak utama akan meningkatkan lagi laluan untuk minyak dan gas. 

“Peralihan struktur ini, yang ditandai dengan penambahan bersih dalam sumber fosil dan tenaga boleh baharu, sedang memacu pertumbuhan merentasi semua perniagaan kami serta mengekalkan prospek yang kukuh bagi kumpulan,” kata Yinson. 

Trajektori jangka panjang sistem tenaga global ke arah tenaga boleh baharu, elektrifikasi dan penyahkarbonan terus memacu enjin pertumbuhan lain kumpulan ini. 

““Yinson Renewables dan Yinson GreenTech berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang jangka panjang ini, terutamanya merentasi pasaran strategik di Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Latin, sekali gus memberikan kumpulan itu pilihan strategik serta bermakna apabila pasaran peralihan tenaga matang,” kata Yinson. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan