JENAYAH & MAHKAMAH

Star Team APMM: Pasukan Elit Tonggak Keselamatan Perairan Negara

20/03/2026 11:24 AM

Oleh Noraizura Ahmad

PELABUHAN KLANG, 20 Mac (Bernama) -- Mengawal perairan negara seluas lebih 500,000 kilometer persegi daripada ancaman jenayah rentas sempadan menuntut kesiapsiagaan tinggi Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Sebagai pasukan elit yang dipertanggungjawabkan menggalas operasi berisiko tinggi, STAR Team memainkan peranan kritikal dalam memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) kekal selamat daripada sebarang bentuk pencerobohan dan keganasan.

Komander STAR Team Kepten Maritim Syuzefril Mat Noor berkata pasukan yang ditubuhkan pada Mac 2005 itu memikul dua tanggungjawab utama, iaitu melaksanakan operasi penggempuran dan operasi menyelamat khas di perairan negara.

Beliau berkata dengan kekuatan kira-kira 150 anggota, pasukan itu telah membuktikan keupayaan menerusi pelbagai misi besar termasuk operasi menyelamat kapal tangki MT Orkim Harmony di Teluk Siam pada 2015 bersama Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Ops Daulat (2013) dan Operasi Menyelamat Kapal Hanyut Winposh Rampart di Laut China Selatan (2022).

“Peranan utama STAR Team adalah operasi penggempuran dan penyelamatan khas seperti operasi melawan bentuk keganasan maritim yang berlaku di perairan negara (ZMM), contohnya apabila berlaku operasi penyelamatan tebusan, jenayah maritim di kapal atau fasiliti di laut.

“Kami juga memiliki kepakaran khusus dalam operasi menyelamat di permukaan laut yang melibatkan ruang sempit atau kapal tenggelam yang memerlukan kami lebih kepada misi khas dan setiap hari kami menjalankan latihan serta sentiasa bersiap siaga untuk sebarang ancaman,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Syuzefril berkata STAR Team turut memainkan peranan penting dalam mengekang kes rompakan kapal oleh warga asing, yang kebanyakannya dilaporkan berlaku di perairan Johor.

“Jenayah yang berlaku termasuk mencuri barang bernilai, mengancam anak kapal dan menggunakan senjata parang yang dilakukan warga asing menggunakan bot kecil,” katanya.

Syuzefril ketika menyentuh mengenai pemodenan aset berkata sempena menginjak usia 21 tahun penubuhan, STAR Team kini dalam proses perolehan 40 unit kenderaan pendorong penyelam (DPV) atau skuter bawah air bagi meningkatkan kecekapan operasi penyelaman selain turut memerlukan beberapa aset lain yang seiring dengan perkembangan teknologi.

Beliau berkata pemerkasaan pasukan itu berpaksikan konsep 3M, iaitu Man, Machine and Method (Manusia, Mesin dan Kaedah), apabila kecekapan anggota perlu disokong oleh teknologi terkini bagi memastikan setiap misi dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata ketika ini pasukan terbabit memiliki beberapa aset sendiri termasuk bot, namun masih menggunakan aset APMM seperti helikopter dalam menjalankan operasi mereka.

Selain operasi laut, Syuzefril berkata STAR Team kini memperluas keupayaan taktikal menerusi latihan payung terjun yang pernah diaplikasikan dalam operasi melibatkan “kapal hantu” atau kapal tanpa kru yang hanyut di perairan Terengganu.

Bagi mengekalkan piawaian global, pasukan itu sering menjalani latihan bersama unit elit lain seperti PASKAL TLDM, selain latihan antarabangsa bersama US Marine Corps dan Japan Coast Guard.

Syuzefril ketika mengulas mengenai proses pemilihan berkata hanya calon terbaik dipilih menerusi saringan ketat yang merangkumi modul jati diri, larian mara lasak (LARAK), ujian kecergasan air dan darat serta ujian fobia sebelum layak mengikuti kursus asas komando selama tiga bulan.

 Beliau berkata kehebatan pasukan itu turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila menerima penghargaan daripada Badan Keamanan Laut (BAKAMLA) Indonesia selepas membantu menggagalkan cubaan pemindahan minyak mentah haram melibatkan kapal MT Arman 114 dan MT S Tinos pada 2023.

“Ini menunjukkan negara luar turut memberi penghargaan kepada pasukan hasil kerjasama yang diberikan,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan