NARATHIWAT, 20 Mac (Bernama) -- Kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Narathiwat, Kamolsak Leewamo ditembak di kediamannya awal pagi tadi, sejurus beliau pulang dari sidang Parlimen di Bangkok pada Khamis.
Ketua Polis Bacho, Wisan Rakmak berkata Kamolsak terselamat dalam kejadian itu. Bagaimanapun, dua pegawai pengiring beliau tercedera dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan.
Wisan berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi ketika Kamolsak pulang ke kediamannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai selepas menghadiri proses pengundian perdana menteri baharu di Bangkok.
Menurut beliau, empat lelaki dipercayai telah menunggu mangsa di hadapan kediaman sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan rasmi Ahli Parlimen itu.
Bercakap kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian pagi Jumaat, beliau berkata siasatan awal mendapati suspek melarikan diri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih sejurus selepas menyerang mangsa.
Wisan berkata polis kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjejaki suspek, dan keterangan daripada mangsa akan diambil dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial