AM

Isu Cukai Tanah: Chow Akan Sediakan Laporan Untuk Loke

22/03/2026 02:48 PM

GEORGE TOWN, 22 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow akan menyediakan satu laporan untuk diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengenai pelaksanaan kadar cukai tanah baharu yang berkuat kuasa pada 1 Jan lepas di negeri itu.

Chow berkata beliau juga akan mematuhi arahan Loke supaya tidak membicarakan isu tersebut dalam media demi mengelakkan persepsi serta kesan negatif kepada pihak barisan kepimpinan parti dan kerajaan negeri secara keseluruhan. 

“Saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada Setiausaha Agung DAP kerana sudi mengaturkan mesyuarat melibatkan tiga pihak (Chow, Loke dan bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng) bagi membincangkan isu kenaikan kadar cukai tanah di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Chow sekali lagi menyeru pemilik tanah yang terkesan untuk terus mengemukakan rayuan ke pejabat daerah dan tanah dalam negeri, serta pejabat Pengarah Tanah dan Galian di Komtar.

Semalam, Loke berkata akan mengatur pertemuan antara Chow dan Lim bagi menyelesaikan pertikaian berterusan mengenai kadar cukai tanah dan menyifatkan pertelingkahan terbuka antara dua pemimpin tersebut sebagai tidak sihat serta tidak sesuai, terutamanya dalam ketidakpastian geopolitik dan ekonomi semasa. 

Berikutan itu, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam Facebooknya berkata akan menghentikan sementara semua kenyataan awam berhubung isu tersebut hingga satu mesyuarat tiga pihak diadakan.

Kerajaan negeri telah melaksanakan semakan kadar cukai tanah dan klasifikasi tanah luar bandar kepada bandar bagi seluruh Pulau Pinang mengikut peruntukan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang berkuat kuasa 1 Jan.

Pelaksanaan semakan kadar cukai tanah itu melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh Pulau Pinang meliputi pelbagai kategori dan kegunaan tanah termasuk kediaman, komersial, industri, pertanian dan kategori khas lain.

Chow sebelum ini menyatakan kekesalan terhadap pihak tertentu yang cuba mensensasikan kenaikan itu tanpa memahami pengiraan dan penggunaan tanah sebenar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan