AM

Orang Ramai Dinasihat Kurangkan Aktiviti Luar Rumah Berikutan Cuaca Panas Di Kedah

23/03/2026 10:54 AM

ALOR SETAR, 23 Mac (Bernama) -- Orang ramai terutamanya di Kedah dinasihatkan untuk mengehadkan aktiviti luar rumah dan mengurangkan pendedahan kepada cahaya matahari terik berikutan fenomena cuaca panas yang melanda sebahagian besar negara ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Mansor Zakaria berkata berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), daerah Padang Terap berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius.

“Cuaca di Kedah panas berbanding negeri lain kerana kita tidak menerima hujan dalam tempoh lebih sebulan. Jadi, saya ingin nasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah termasuk kunjung-mengunjung pada Aidilfitri ini atau aktiviti riadah yang lain.

“Saya bimbang orang ramai boleh terdedah kepada suhu panas yang tinggi hingga boleh menyebabkan strok haba. Minum air kosong dalam jumlah yang banyak bagi mengelakkan hidrasi, jangan minum air manis kerana ia akan menyebabkan kita menjadi lebih haus,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Mansor turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyumbang kepada peningkatan suhu panas yang lebih tinggi di negeri ini.

“Jangan lakukan pembakaran sampah secara tidak terkawal, cuaca kering sekarang boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas. Keadaan paras air di sungai dan empangan di negeri ini juga semakin surut, jadi elakkan pembaziran air.

“Ada kawasan yang berdepan masalah tiada air, jangan membazir. Simpan air yang mencukupi, guna ikut keperluan kerana apabila tiada air, ia boleh menjejaskan kelangsungan kehidupan kita semua,” katanya.

MetMalaysia dalam kenyataan turut memaklumkan 14 kawasan di Semenanjung berada pada tahap satu iaitu berjaga-jaga termasuk di daerah Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan