EKONOMI

Kerugian Penipuan Di Malaysia Cecah RM2.7 Bilion Pada 2025, Memuncak Ketika Perayaan – Fortinet

24/03/2026 10:15 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kerugian berkaitan penipuan di Malaysia dianggarkan mencecah RM2.7 bilion pada 2025, meningkat 76 peratus berbanding 2024, dengan lonjakan ketara dikesan semasa musim perayaan seperti Aidilfitri, menurut syarikat keselamatan siber Fortinet Malaysia.

Pengurus Negara Fortinet Malaysia, Kevin Wong berkata peningkatan itu didorong terutamanya oleh kempen pancingan data (phishing), platform e-dagang palsu serta pautan pembayaran penipuan.

Beliau berkata, seiring peningkatan penggunaan pembayaran digital termasuk e-duit raya, penjenayah siber turut mengeksploitasi kod QR dan saluran pembayaran untuk mengalihkan transaksi secara tidak sah.

“Musim perayaan bukan sahaja berisiko tinggi kepada pengguna, malah memperluaskan landskap ancaman terhadap perniagaan dan infrastruktur kritikal.

“Peningkatan jumlah transaksi dan aktiviti digital mewujudkan permukaan serangan yang lebih besar, manakala pengurangan kakitangan atau perubahan operasi semasa cuti boleh melambatkan tindak balas, sekali gus meningkatkan kerentanan organisasi,” katanya kepada Bernama.

Wong turut memaklumkan bahawa Pusat Respons Insiden Cyber999 merekodkan 2,020 insiden pada suku ketiga 2025, meningkat lebih 20 peratus tahun ke tahun, dengan phishing dan penipuan dalam talian merangkumi kira-kira 75 peratus daripada jumlah kes.

Menurutnya, situasi itu menegaskan hakikat bahawa musim perayaan tidak wajar dianggap sebagai tempoh rehat keselamatan siber, sebaliknya memerlukan pemantauan berterusan, kesedaran kakitangan serta kawalan identiti kukuh, termasuk penggunaan pengesahan berbilang faktor (MFA).

Bagi pengguna, beliau menasihatkan agar hanya membeli-belah di laman web yang disahkan dan mempunyai sambungan selamat (HTTPS), mengelakkan klik pada pautan daripada mesej tidak diminta atau tawaran yang terlalu menarik, serta menggunakan kaedah pembayaran selamat seperti kad kredit dengan perlindungan penipuan.

“Pengguna juga disaran mengaktifkan pengesahan berbilang faktor, tidak berkongsi kata laluan sekali guna (OTP) atau maklumat perbankan, serta mengelakkan penggunaan Wi-Fi awam bagi urus niaga kewangan,” katanya.

Wong menegaskan bahawa organisasi perlu mengguna pakai keupayaan keselamatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesan dan bertindak balas terhadap ancaman pada kelajuan mesin, sejajar dengan

Beliau turut berkata, pendekatan platform bersepadu yang menggabungkan rangkaian dan keselamatan dapat meningkatkan keterlihatan, mempercepatkan tindak balas serta mengurangkan kerumitan merentasi persekitaran hibrid.

“Menangani jurang kemahiran keselamatan siber kekal kritikal, memandangkan penyelidikan Fortinet menunjukkan 98 peratus organisasi di Malaysia pernah mengalami pelanggaran keselamatan berkaitan kekurangan bakat, sekali gus menekankan keperluan latihan berterusan, pensijilan dan pembangunan tenaga kerja,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan