KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan terhadap warga asing, khususnya pendatang tanpa izin (PATI) dilaksanakan secara berterusan dan tidak bersifat bermusim walaupun ketika perayaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Datuk Lokman Effendi Ramli berkata tindakan tegas itu perlu bagi memastikan kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang pelanggaran peraturan.
“Undang-undang perlu dipatuhi semua pihak termasuk warga asing, JIM sentiasa menghormati hak warga asing untuk menyambut perayaan dengan harmoni, namun undang-undang tetap menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan beberapa individu mengkritik tindakan JIM yang menjalankan operasi pemeriksaan di lokasi tumpuan warga asing semasa cuti Aidilfitri.
Dalam pada itu, Lokman Effendi memberi jaminan bahawa tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap warga asing yang mempunyai dokumen perjalanan sah serta mematuhi peraturan ditetapkan.
Beliau berkata pelaksanaan operasi semasa musim perayaan adalah satu keperluan bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kelonggaran pengawasan.
“Sekiranya penguatkuasaan dilonggarkan, terdapat risiko berlakunya aktiviti pelanggaran undang-undang termasuk peningkatan bilangan pendatang tanpa izin, keselamatan dan ketenteraman awam adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan,” katanya.
Beliau berkata setiap tindakan penguatkuasaan dijalankan secara konsisten, berhemah dan berintegriti sebagai langkah pencegahan demi kepentingan keselamatan negara secara keseluruhan dan bukan menimbulkan ketidakselesaan kepada mana-mana pihak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial