AM

Cuaca Panas Dijangka Berterusan Hingga Jun Susulan Taburan Hujan Rendah - MetMalaysia

25/03/2026 11:45 AM

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia Ambun Dindang berkata Malaysia kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya dicirikan oleh pengurangan hujan serta keadaan cuaca lebih panas dan kering, terutama di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung.

Beliau berkata berdasarkan unjuran model cuaca tempatan dan antarabangsa, negara dijangka mengalami pola cuaca lebih kering dengan taburan hujan lebih rendah daripada kebiasaan bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

“Semasa fasa peralihan monsun dijangka bermula hujung Mac hingga Mei, kawasan pantai barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia, barat Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan terutamanya pada sebelah petang dan awal malam. Hujan ini dijangka meredakan sedikit suhu di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Ambun berkata taburan hujan dijangka meningkat mulai penghujung minggu ini, melibatkan kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata berdasarkan rekod terkini, beberapa kawasan seperti Limbang di Sarawak serta Sandakan dan Tawau di Sabah telah merekodkan taburan hujan melebihi paras normal, manakala beberapa lokasi lain seperti Ipoh (Perak), Subang (Selangor), Kudat (Sabah) dan Mulu (Sarawak) mencatatkan paras normal. 

“Namun, kebanyakan stesen lain menunjukkan taburan hujan di bawah paras normal, dengan Kedah (Alor Setar, Kubang Pasu dan Langkawi) serta Papar (Sabah) masing-masing merekodkan hingga 17 hari tanpa hujan, manakala Perlis mencatatkan 15 hari tanpa hujan setakat 23 Mac,” katanya

Ambun berkata kawasan utara Semenanjung seperti Kedah, iaitu Pendang, Baling dan Padang Terap, lebih terdedah kepada cuaca panas berikutan faktor geografi serta corak tiupan angin MTL yang membawa lebih banyak kelembapan ke Pantai Timur dan selatan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

“Pada Januari, tumpuan aliran angin dan sistem cuaca lebih aktif di kawasan tersebut, menyebabkan kawasan utara dan barat Semenanjung Malaysia cenderung mengalami keadaan cuaca yang lebih kering dan panas,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata keadaan cuaca panas di Malaysia lazimnya berlaku pada fasa akhir MTL pada Februari hingga April, dengan kawasan utara Semenanjung Malaysia cenderung menunjukkan pola cuaca lebih panas, namun ia juga bergantung kepada keragaman iklim seperti fenomena ENSO.

Ambun berkata berdasarkan model iklim global, Malaysia tidak terkecuali daripada mengalami peningkatan kekerapan hari panas ekstrem, terutama jika dipengaruhi fenomena El Nino.

“Rekod suhu tertinggi negara menunjukkan bacaan 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 1998, diikuti Batu Embun, Pahang (39.3 darjah Celsius) pada 2016 dan Alor Setar (39.1 darjah Celsius) pada 1998, yang semuanya berlaku ketika fenomena El Nino kuat,” katanya.

Ambun berkata Malaysia berpotensi mencapai gelombang haba tahap 3 sekiranya berlaku El Nino kuat, namun perkembangan fenomena itu masih dipantau.

Beliau berkata MetMalaysia mentakrifkan gelombang haba sebagai suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, dengan amaran tahap 1 dikeluarkan pada 35-37 darjah Celsius, tahap 2 pada 37-40 darjah Celsius dan tahap 3 apabila suhu melebihi 40 darjah Celsius untuk tempoh sama.

Ambun turut menasihati orang ramai untuk minum air secukupnya, kurangkan aktiviti luar terutama pada waktu tengah hari, pakai pakaian sesuai dan elakkan pembakaran terbuka serta berhemat dalam penggunaan air bagi mengelakkan pembaziran.

Beliau berkata cuaca panas dan kering juga boleh menurunkan paras empangan serta meningkatkan risiko kemarau dan gangguan bekalan air, selain menjejaskan kesihatan seperti strok haba dan dehidrasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan