BATU KAWAN, 25 Mac (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan bersepadu, UWC Bhd, mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM12.81 juta bagi suku kedua berakhir 31 Jan 2026, berbanding RM9.62 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya.
Hasil bagi suku tersebut meningkat kepada RM136.41 juta daripada RM92.40 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, terutamanya disumbang oleh pemulihan kukuh dalam industri semikonduktor, menurut kumpulan itu dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia.
Syarikat itu memaklumkan bagi tempoh separuh pertama berakhir 31 Jan, 2026, kumpulan mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM29.92 juta berbanding RM16.19 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM257.26 juta daripada RM181.82 juta sebelum ini.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, pengarah eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Seri Ng Chai Eng, berkata kumpulan itu kini melihat tanda-tanda jelas pemulihan dalam industri semikonduktor, didorong oleh pertambahan pertanyaan dan momentum tempahan yang semakin baik.
Beliau berkata pada masa yang sama, syarikat itu sedang mempercepatkan pengembangan kapasiti bagi memastikan UWC berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menyokong kitaran peningkatan ini serta merebut peluang baharu yang muncul.
“Walaupun pertukaran asing memberi kesan kepada pendapatan yang dilaporkan bagi suku ini, asas perniagaan kami kekal kukuh.
“Dengan saluran projek yang semakin berkembang serta permintaan berterusan dalam segmen semikonduktor, kami yakin dengan keupayaan untuk mencipta nilai jangka panjang kepada para pemegang kepentingan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial