AM

Bangunan Usang Ancam Kesihatan, Keselamatan Penghuni

28/03/2026 11:58 AM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Keperluan penyelenggaraan berkala bagi bangunan lama, khususnya yang berusia antara 20 hingga 50 tahun, semakin mendesak dan wajar diberi perhatian serius kerana berisiko menjejaskan kesihatan serta keselamatan penghuni, selain dipengaruhi faktor persekitaran.

Dengan purata jangka hayat pangsapuri bertingkat tinggi atau bangunan pejabat dianggarkan antara 50 hingga 60 tahun, kebanyakan bangunan tidak lagi memenuhi kod semasa termasuk aspek kecekapan tenaga, piawaian keselamatan dan kesejahteraan apabila usianya meningkat.

Sehubungan itu, pakar bangunan lama menegaskan penyelenggaraan berkala adalah kritikal, lebih-lebih lagi apabila dua pertiga bangunan sedia ada di Malaysia dijangka terus digunakan sehingga 2050, seperti dibincangkan dalam forum cabaran kemampanan bangunan baru-baru ini.

Namun, budaya penyelenggaraan dalam kalangan masyarakat masih rendah, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan penghuni, termasuk risiko Sindrom Bangunan Sakit (SBS), kata Prof Madya Dr Mohammad Ashraf Abdul Rahman.

“Bahan binaan seperti asbestos, cat dan paip berplumbum, selain kehadiran kulat serta pendawaian usang merupakan antara ancaman utama bagi bangunan lama yang tidak diselenggara secara berkala,” katanya kepada Bernama.

Beliau menekankan penggantian bahan binaan lama dengan alternatif lebih selamat dan moden adalah satu keperluan mendesak bagi keselamatan dan kesihatan penghuni.

Menurut pakar ukur bangunan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu, rumah atau flat lama yang dibina 20 hingga lebih 50 tahun lalu banyak menggunakan bahan yang tidak lagi sesuai dan berisiko, antaranya asbestos pada bumbung, dinding, siling dan penebat haba.

“Siling asbestos banyak digunakan sebelum ini kerana harganya murah, namun mengandungi serpihan mikroskopik yang boleh terlepas ke udara. Apabila disedut, ia berisiko menyebabkan penyakit serius seperti asbestosis dan kanser paru-paru.

“Selain itu, masalah kelembapan akibat kebocoran bumbung atau paip boleh menyebabkan pertumbuhan kulat hitam. Spora kulat ini boleh mencetuskan alahan, serangan asma, gangguan pernafasan dan penyakit akut, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

Sementara itu, Profesor Dr Rosnah Ismail berkata SBS boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental penghuni.

Beliau berkata sesebuah bangunan dianggap “sakit” apabila 20 peratus atau lebih penghuninya mengadu gejala seperti sakit kepala, keletihan, iritasi mata dan kulit gatal.

“Gejala biasanya berkurangan apabila mereka meninggalkan bangunan. Antara punca SBS ialah reka bentuk lama yang membenarkan pencemaran luar, seperti asap kenderaan dan habuk industri, memasuki ruang dalaman.

“Kanak-kanak dan warga emas antara kumpulan paling berisiko kerana sistem pernafasan mereka lebih sensitif, manakala warga emas lazimnya menghidap penyakit kronik seperti asma, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) dan masalah jantung,” katanya.

Pensyarah Perubatan Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata keadaan akan bertambah buruk jika penghuni terdedah kepada persekitaran tercemar secara berpanjangan.

Beliau berkata rumah yang selamat perlu mempunyai pengudaraan baik, tingkap mencukupi serta keluasan ruang bersesuaian.

Dalam pada itu, ahli psikologi klinikal Dr Faridah Hamimi berkata keadaan persekitaran yang tidak sejahtera boleh mencetuskan tekanan emosi kronik dan ketidakstabilan mental dalam kalangan penghuni.

“Kebocoran atau retakan dinding menimbulkan rasa tidak selamat serta meningkatkan keresahan. Kekurangan cahaya semula jadi mengganggu ritma sirkadian, menyebabkan keletihan dan risiko kemurungan jangka panjang,” katanya.

Peguam Muhammad Akram Abdul Aziz berkata isu penyelenggaraan bangunan bukan sekadar teknikal, malah melibatkan tanggungjawab undang-undang pihak berkepentingan.

“Banyak badan pengurusan bersama (JMB) dan perbadanan pengurusan (MC) flat kos rendah berdepan tunggakan yuran penyelenggaraan, sekali gus menyukarkan kerja pembaikan. Undang-undang di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 ada, tetapi penguatkuasaan memerlukan kos,” katanya.

Sehubungan itu, sejumlah JMB dan MC kini meneroka sumber pendapatan alternatif, termasuk menyewakan ruang atas bumbung, mewujudkan ruang kerja bersama dan ruang iklan bagi menjana pendapatan berterusan.

Pendekatan ini wajar, namun tidak menggantikan keperluan penyelenggaraan kritikal demi kemampanan dan kesejahteraan penghuni.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan