AM

KPKT Terajui PMR 2026 Perak: Pelbagai Inisiatif, Perkhidmatan Menanti Rakyat

28/03/2026 02:54 PM

PUTRAJAYA, 28 Mac (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menerajui Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 di Perak, yang bakal berlangsung dari 3 hingga 5 April ini di Bulatan Sultan Azlan Shah, Persiaran Meru, Ipoh, dengan kerajaan negeri bertindak selaku tuan rumah.

Dalam kenyataan hari ini, KPKT memaklumkan program itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 April, sebagai simbol komitmen Kerajaan MADANI untuk mendekati rakyat dan memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih berkesan pada peringkat akar umbi.

Mengangkat tema "Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni", KPKT memaklumkan PMR 2026 Perak menekankan peranan KPKT dalam memperkasakan pembangunan bandar mampan, memperluas akses kepada perumahan berkualiti serta membina komuniti inklusif dan sejahtera.

Dalam kenyataan sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata sebagai kementerian peneraju, KPKT komited memastikan program selama tiga hari itu menjadi platform terbaik untuk rakyat melihat, merasai dan mendapat manfaat terus daripada pelbagai inisiatif kerajaan, khususnya dalam aspek perumahan, perbandaran serta kesejahteraan komuniti.

Beliau turut mengundang orang ramai untuk hadir beramai-ramai bagi memanfaatkan pelbagai perkhidmatan dan inisiatif yang disediakan sepanjang program berlangsung.

"Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung boleh menikmati pelbagai pengisian menarik termasuk perkhidmatan kerajaan, inisiatif kesejahteraan rakyat, perkhidmatan kesihatan, Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI, tawaran peluang pekerjaan, festival makanan tempatan, jualan usahawan tempatan serta pelbagai program komuniti," katanya.

Beliau berkata antara aktiviti komuniti yang disajikan ialah penukaran topi keledar, penukaran minyak enjin motosikal percuma, perkhidmatan gunting rambut percuma, pengagihan biji benih dan anak pokok serta pameran aset pertahanan dan keselamatan.

Selain itu, katanya, KPKT turut menyelaras pelaksanaan program satelit di sekitar Ipoh dan Tambun bermula pada 28 Mac hingga 3 April, merangkumi inisiatif perumahan, keselamatan komuniti, pendigitalan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), program landskap serta aktiviti komuniti MADANI.

"Penganjuran PMR 2026 Perak mencerminkan sinergi kukuh antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk pembangunan inklusif, mampan dan berfokuskan rakyat," katanya.

PMR 2026 turut menjadi platform interaksi langsung rakyat dengan kerajaan, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang pelbagai inisiatif pembangunan, kemudahan perumahan dan peluang komuniti pada peringkat negeri.

Dengan gabungan aktiviti, perkhidmatan dan program komuniti, PMR 2026 Perak dijangka dapat memperkukuh hubungan antara rakyat dengan kerajaan, sambil mempromosikan pembangunan bandar dan komuniti yang sejahtera serta harmoni.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan