KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Komuniti pesawah menyambut baik langkah kerajaan mengekalkan pelbagai rantaian subsidi input dan bantuan tunai yang dianggap sebagai “talian hayat” utama dalam mendepani kenaikan kos di peringkat global susulan pergolakan di Asia Barat.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Ishak Taib berkata pengekalan subsidi baja, racun serta tambahan peruntukan bagi subsidi bajak dan jentuai membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kos operasi peladang yang semakin mencabar.
Beliau berkata bantuan itu bukan sahaja meringankan beban modal awal, malah memastikan pesawah dapat terus mengusahakan tanaman meskipun berdepan kenaikan harga input pertanian di peringkat antarabangsa.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana meneruskan subsidi baja dan racun serta menambah subsidi bajak kepada RM300 serta subsidi jentuai sebanyak RM50 bagi setiap hektar. Ini adalah respons terbaik yang sangat membantu petani di lapangan,” katanya kepada Bernama.
Beliau turut memuji keberkesanan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) kendalian Agrobank sebagai perlindungan kewangan segera sekiranya berlaku bencana seperti banjir atau kemarau yang merosakkan tanaman.
Peladang MADA Mohd Hanif Mat Ani turut mengakui bantuan sedia ada termasuk subsidi harga padi sekitar RM500 per tan amat kritikal bagi menampung kos sara hidup memandangkan pendapatan pesawah hanya diperoleh dua kali setahun.
Katanya biarpun kos bahan api dan input meningkat, sokongan kerajaan melalui pelbagai insentif mampu menampung kira-kira 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan kos penanaman, sekali gus memastikan kelangsungan sektor tersebut.
“Kualiti benih bersubsidi juga secara keseluruhan memuaskan dan berada pada tahap baik. Dengan adanya subsidi ini, sekurang-kurangnya kita masih boleh teruskan penanaman walaupun cuaca sekarang tidak menentu akibat perubahan iklim,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr Mohd Zukime Mat Junoh menyifatkan langkah kerajaan mengekalkan subsidi input sebagai wajar bagi memastikan pesawah mampu bertahan dalam jangka masa pendek dan sederhana.
Beliau berkata intervensi tersebut penting bagi mengekalkan kestabilan output harga padi meskipun harga baja dan racun di pasaran global menunjukkan trend peningkatan.
“Insentif tunai dan subsidi kerajaan berjaya mengimbangi kenaikan kos operasi bagi membolehkan pesawah tetap mempunyai margin keuntungan. Mekanisme Tabung Bencana Pertanian dan subsidi input ini adalah inisiatif tepat untuk mengurangkan impak negatif ekonomi terhadap pendapatan pesawah,” katanya.
Sebagai langkah penambahbaikan, Mohd Zukime menyarankan penubuhan sekretariat pemantauan kebajikan petani di peringkat nasional bagi mempercepat keputusan berkaitan isu kebajikan dan pendapatan pesawah.
Beliau turut menekankan kepentingan pelan tindakan jangka pendek dan sederhana yang inklusif bagi memastikan industri keselamatan makanan negara kekal stabil di sebalik tekanan ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial