AM

Pertandingan "Color Light" Semarakkan Syawal Di Kawang

29/03/2026 11:53 AM

KOTA KINABALU, 29 Mac (Bernama) -- Walaupun sudah memasuki Syawal ke-9, suasana malam raya seakan-akan belum pudar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang, Papar, apabila deretan rumah terus bercahaya dalam Pertandingan Color Light yang dianjurkan semalam.

Gelap malam di beberapa kampung di kawasan itu disinari dengan limpahan lampu berwarna-warni yang membentuk pelbagai rekaan unik seperti kereta kebal, kapal terbang, pokok kelapa, lemang, masjid dan bunga api, manakala papan tanda "Jom Ke Papar Sabah" yang bersinar terang seolah-olah mengundang orang ramai kembali menikmati kemeriahan Aidilfitri.

Program anjuran pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) DUN Kawang itu bukan sekadar pertandingan hiasan, sebaliknya menjadi platform menghidupkan semula tradisi pemasangan pelita dalam sentuhan moden yang lebih kreatif dan menarik.

Peserta, Bibi Zuraini Mintow, 37, berkata konsep yang diketengahkan tahun ini menampilkan suasana kampung serta elemen masjid bagi mencerminkan kemeriahan Aidilfitri yang sebenar.

“Kalau tengok suasana malam ini, memang meriah. Sanak saudara, jiran tetangga semua datang, ada juga dari luar seperti Sandakan dan Tambunan,” katanya.

Bibi Zuraini berkata hiasan yang menelan kos hampir RM2,000 itu disiapkan dalam tempoh beberapa hari bermula dari hari raya kedua, hasil kreativiti suaminya bersama dengan rakan-rakan.

“Ini memang minat suami saya, dia kreatif. Di kampung ini, memang sudah jadi tradisi, daripada pelita biasa, sekarang kita guna lampu moden untuk teruskan budaya itu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Awang Putra Bustamum, 59, memilih konsep "Jom Balik Kampung" yang diinspirasikan daripada kehidupan anak-anaknya yang bekerja di luar daerah.

“Kita buat simbol dua kapal terbang, satu dari Kuala Lumpur dan satu dari Tawau, supaya menggambarkan suasana kepulangan. Aidilfitri ini memang tentang balik kampung,” katanya.

Persiapan, katanya, mengambil masa kira-kira tiga minggu dengan kos melebihi RM2,000, namun kepuasan melihat kampung dipenuhi dengan cahaya serta kehadiran pengunjung menjadi ganjaran paling bermakna.

Lebih daripada sekadar hiasan, pertandingan itu turut memperkukuh identiti Kampung Beringis yang terkenal dengan tradisi pelita dan color light, sekali gus menarik minat generasi muda untuk menghargai warisan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Kawang Azrul Ibrahim berkata pertandingan color light yang dianjurkan sejak empat tahun lepas terus mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Beliau berkata bagi edisi tahun ini, sebanyak 28 penyertaan diterima melibatkan hampir keseluruhan kampung di dalam kawasan DUN Kawang.

“Pertandingan ini bertujuan menyemarakkan lagi suasana Aidilfitri di Papar, khususnya di Kawang, dengan kemeriahan lampu color light yang dipamerkan oleh para peserta,” katanya.

Azrul berkata penganjuran pertandingan seperti color light dan bersusul atau tradisi memasang pelita bukan sahaja menceriakan sambutan perayaan, tetapi juga antara inisiatif yang lahir daripada permintaan masyarakat sendiri.

“Inilah budaya masyarakat di Papar, khususnya di Kawang. Walaupun tanpa pertandingan, mereka tetap akan memasang lampu color light ini demi memeriahkan Aidilfitri walaupun kosnya agak tinggi,” katanya.

Azrul berkata juara pertandingan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000, diikuti RM2,000 bagi naib juara dan RM1,500 untuk tempat ketiga, selain saguhati kepada semua peserta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan