AM

MERCY Malaysia Sokong Undang-undang Ketat Bagi Kutipan Derma NGO, Sumbangan Awam

30/03/2026 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- MERCY Malaysia menyuarakan sokongannya terhadap cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memperkenalkan undang-undang baharu berkaitan pengurusan dana awam, termasuk derma yang dikutip oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Presidennya Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata penubuhan Suruhanjaya Amal Diraja akan menjadi langkah yang tepat pada masanya dan penting ke arah memperkukuh akauntabiliti dan memastikan sumbangan amal diuruskan secara berintegriti dengan pengawasan yang betul.

“MERCY Malaysia percaya mengekalkan kepercayaan orang ramai adalah asas penting kepada usaha kemanusiaan yang berkesan. Sebarang rangka kerja kawal selia baharu perlu dibangunkan menerusi perbincangan mendalam bersama organisasi masyarakat awam bagi memastikan ia praktikal dan responsif terhadap keperluan usaha kemanusiaan.

“Kami bersedia untuk menyokong kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan dalam membentuk dasar yang melindungi kepentingan awam sambil memelihara keupayaan NGO untuk menyampaikan bantuan kritikal kepada komuniti rentan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengumpulan dana awam yang semakin kompleks dan berkembang termasuk sumbangan digital dan rentas sempadan, memerlukan mekanisme kawal selia yang jelas, konsisten dan boleh dikuatkuasakan.

Dr Ahmad Faizal berkata siasatan baru-baru ini terhadap aktiviti pengumpulan dana NGO telah menunjukkan jurang dalam sistem sekarang dan menekannya keperluan penubuhan rangka kerja perundangan yang lebih kukuh untuk mengawal selia sumbangan awam.

“Perundangan lebih kukuh, terutamanya yang melibatkan pengumpulan dana awam, tadbir urus kebajikan dan pembiayaan politik, dapat membantu mengurangkan risiko penyalahgunaan, konflik kepentingan dan penyelewengan berskala besar.

“Dalam hal ini, MERCY Malaysia menyatakan sokongan terhadap cadangan penubuhan Suruhanjaya Amal Diraja. Badan sedemikian boleh memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengawasan, menetapkan piawaian seluruh sektor dan menggalakkan ketelusan yang lebih tinggi merentasi badan amal yang beroperasi di Malaysia,” katanya.

Pada masa yang sama, MERCY Malaysia menekankan pembaharuan kawal selia perlu dibangunkan melalui proses inklusif dan perundingan bagi memastikan ia praktikal, seimbang dan membantu organisasi kemanusiaan bertindak balas dengan pantas semasa krisis.

Pertubuhan itu berkata ia mengekalkan struktur tadbir urus yang mantap secara konsisten, termasuk pengawasan oleh Lembaga Pemegang Amanah dan Jawatankuasa Eksekutifnya, disokong oleh audit bebas yang kerap sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap standard akauntabiliti yang tinggi .

MERCY Malaysia juga menyatakan kesediaan untuk menyumbangkan kepakaran dan pengalaman operasinya dalam perbincangan berterusan yang diketuai oleh SPRM dan pihak berkuasa berkaitan, termasuk Jabatan Peguam Negara, bagi memperkukuh tadbir urus merentasi sektor kemanusiaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan