AM

JPN Pulau Pinang Perkukuh Kesiapsiagaan 398 Sekolah Hadapi Gelombang Cuaca Panas

30/03/2026 03:01 PM

GEORGE TOWN, 30 Mac (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dengan memperkukuh kesiapsiagaan di 398 sekolah di seluruh negeri dalam menghadapi gelombang cuaca panas yang melanda ketika ini.

Pengarah Pendidikan negeri Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata ia termasuk mengadakan sesi libat urus bersama semua guru besar, pengetua serta pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan kesemua sekolah membuat persediaan sebelum sesi persekolahan dibuka semula berdasarkan garis panduan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata hasil libat urus pada Jumaat lepas, pihak sekolah telah mengambil tindakan segera dengan memaklumkan ibu bapa lebih awal mengenai penyesuaian jadual serta keperluan murid sepanjang tempoh cuaca panas termasuk memberikan autonomi kepada sekolah untuk menentukan pemakaian yang lebih selesa.

“Ibu bapa juga telah dimaklumkan mengenai persediaan ini bagi memberi keyakinan bahawa pihak sekolah akan memastikan tiga perkara utama iaitu kesihatan, kebajikan dan keselamatan murid sentiasa terjaga.

“Sebab itu kita dapat lihat hari pertama sekolah dibuka hari ini anak-anak datang memakai baju T, membawa bekalan air, kipas mini malah pihak sekolah turut mengambil inisiatif menyediakan bekalan air di kantin,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Dziauddin berkata JPN turut memberi perhatian terhadap aspek infrastruktur sekolah, khususnya melibatkan kipas, tingkap serta sistem pengudaraan bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal kondusif.

Sehubungan itu, beliau berkata Sektor Infrastruktur dan Perolehan telah diarahkan untuk menyemak segera sebarang isu berkaitan kemudahan tersebut agar kerja pembaikan dapat dilaksanakan segera.

“Aktiviti luar seperti sukan dan kokurikulum masih boleh diteruskan dengan penyesuaian tertentu termasuk dilaksanakan di kawasan berbumbung atau pada waktu awal pagi bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas,” katanya.

Meskipun Pulau Pinang tidak berada dalam kategori tahap berjaga-jaga ketika ini, Mohamad Dziauddin berkata pemantauan tetap dilaksanakan secara berterusan dan pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi mendapatkan maklumat cuaca terkini untuk disalurkan kepada sekolah.

Beliau berkata setakat ini tiada keperluan untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan sesi persekolahan kekal berlangsung secara bersemuka.

Selain itu, sebagai sebahagian daripada pendekatan pendidikan sekolah turut digalakkan melaksanakan solat sunat Istisqa’ sebagai ikhtiar memohon hujan, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan