AM

Raja Muda Selangor Berkenan Saksikan Majlis Pemeteraian Projek Penjaga Gunung

30/03/2026 05:33 PM

SHAH ALAM, 30 Mac (Bernama) -- Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyaksikan majlis pemeteraian Perjanjian Pemuliharaan bagi pelaksanaan projek Penjaga Gunung di Selangor di bawah Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC).

Menerusi projek itu, komuniti Orang Asli tempatan di Gerachi, Pertak dan Ulu Batu di Hutan Warisan Diraja Selangor seluas 108,000 hektar akan diperkasa sebagai jurupandu alam semula jadi dan Renjer Komuniti melalui latihan yang dijalankan secara bersama dengan Universiti Putra Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Tengku Amir Shah dalam ucapannya bertitah Selangor berpegang teguh kepada keyakinan bahawa hutan bukanlah antitesis kepada kemajuan, sebaliknya adalah enjin hidup yang membantu menstabilkan iklim, melindungi sungai serta menjadi benteng pertama negeri terhadap keadaan cuaca yang semakin tidak menentu.

Baginda bertitah Selangor menggerakkan laluan pemuliharaan yang berprinsip dan praktikal dengan memperkukuh tadbir urus hutan, memulihkan landskap yang terjejas serta meletakkan komuniti sebagai teras kepada usaha pemeliharaan.

“Kami menzahirkan penghormatan khusus kepada Orang Asli, penjagaan turun-temurun mereka sejak sekian lama melindungi bukit-bukau, hulu sungai dan keseimbangan ekosistem kita. Kami juga berbangga dengan generasi muda yang semakin meningkat, yang menyahut seruan hutan.

“Melalui Komuniti Belia Selangor, penjaga gunung moden kita, penjaga puncak dan kawasan tadahan air, golongan muda berdiri seiring dengan Orang Asli serta komuniti tempatan. Bersama-sama, mereka mencerminkan etika kepedulian Selangor, memastikan hutan terus terjaga, sungai terus mengalir dan negeri kita kekal berdaya tahan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berucap pada program FCC Sebagai Platform Dipercayai Malaysia Bagi Pembiayaan Pemuliharaan di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ajay Sharma.

Arthur dalam ucapannya berkata projek Penjaga Gunung sebagai antara projek penting dan berjaya di bawah FCC dijangka melahirkan generasi baharu penjaga hutan yang komited dalam melindungi warisan semula jadi negara.

“Projek ini menangani cabaran sebenar seperti pendapatan yang tidak stabil, pengurangan sumber rezeki berasaskan hutan serta pelancongan. Melalui latihan dan pengiktirafan rasmi sebagai jurupandu gunung, projek ini membina kemahiran, kepimpinan serta peluang pendapatan mampan, sekali gus memperkasa mereka sebagai pemelihara alam sekitar dan duta alam semula jadi,” katanya.

Perjanjian Pemuliharaan yang dimeterai antara Malaysia Forest Fund (MFF), CIMB Islamic, Vantage Data Centers dan Your Idea Maker dijangka bukan sahaja mewujudkan peluang pendapatan mampan melalui ekopelancongan berasaskan komuniti, aktiviti pemulihan hutan serta pemantauan biodiversiti, malah turut memelihara pengetahuan ekologi tradisional komuniti berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan