AM

Usaha Perkukuh Keterjaminan Makanan Negara Tanggungjawab Bersama - Mohamad

30/03/2026 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara merupakan tanggungjawab bersama semua pihak dan bukan terletak pada kerajaan semata-mata.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementeriannya sentiasa memantau rapi setiap perkembangan agar negara boleh bersiap sedia lebih awal selain memastikan bekalan makanan negara kekal stabil, mencukupi dan mudah diakses oleh rakyat.

"Kita semua ada peranan. Yang ada ruang dan kemampuan, boleh mula bercucuk tanam. Yang berniaga, urus bekalan dengan berhemah. Yang membeli, elakkan pembelian panik.

"Insya-Allah, dengan usaha berterusan dan kerjasama semua pihak, kita mampu kukuhkan pengurusan bekalan makanan negara dan hadapi cabaran ini dengan tenang," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu petang tadi Mohamad menerima taklimat pembentangan Kertas Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang memberi fokus kepada kedudukan semasa bekalan makanan negara serta langkah-langkah mitigasi yang perlu diperkukuh.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mempengerusikan mesyuarat MTEN esok bagi meneliti dan memuktamadkan tindakan susulan.

Mohamad berkata dalam keadaan dunia yang tidak menentu ketika ini khususnya konflik di Asia Barat serta perubahan cuaca global, perkara itu memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan makanan dan produktiviti sektor pertanian negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan