BUKIT MERTAJAM, 31 Mac (Bernama) -- Sebanyak 127 ibu tunggal di Pulau Pinang mendapat manfaat Projek #BizIbuTunggal yang diperkenalkan pada 6 Feb sebagai sebahagian usaha memperkasakan golongan wanita.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim berkata inisiatif itu membantu ibu tunggal berdikari menjana pendapatan sendiri melalui pendekatan keusahawanan.
Beliau berkata menerusi inisiatif itu, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di semua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berperanan sebagai penghubung mencari penaja atau pembeli serta mengenal pasti ibu tunggal yang ingin menghasilkan produk sebelum diagihkan kepada kumpulan rentan dan memerlukan.
“Projek #BizIbuTunggal bukan sekadar sebuah platform jualan tetapi inisiatif pemerkasaan yang memberi peluang kepada ibu tunggal untuk berdikari dan membuka ruang mereka untuk terus berusaha dan berjaya,” katanya.
Lim berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2026 Peringkat Pulau Pinang di Menara Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini hari ini.
Isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah menyempurnakan majlis perasmian itu yang turut dihadiri Datuk Bandar MBSP Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.
Selain itu, Lim berkata hasil semangat kebersamaan dan keprihatinan semua pihak, projek tersebut berjaya menjana RM144,274.50 dalam tempoh kurang dua bulan, melepasi sasaran RM100,000 dengan penyertaan 347 penaja atau pembeli.
“Ini bermakna purata pendapatan diterima setiap ibu tunggal yang menyertai projek ini ialah RM1,136. Lebih membanggakan apabila seorang peserta memperolehi RM9,600 dalam sebulan lebih yang membuktikan projek ini berjaya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) Datuk Ong Bee Leng berkata Projek #BizIbuTunggal diperkenalkan sebagai projek rintis bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2026 dan secara kebetulan, dilaksanakan ketika musim Aidilfitri.
Beliau berkata antara produk dihasilkan ialah kuih raya dan barangan kreatif seperti hamper serta cenderahati dengan pemilihan peserta dibuat oleh JPWK di setiap KADUN.
Beliau berkata kejayaan projek dalam tempoh singkat membuktikan keberkesanan model berkenaan dan pihaknya bercadang memperluas pelaksanaannya pada musim perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial