AM

Young Art Entrepreneur Buka Ruang Artis Muda Komersialkan Bakat Seni

31/03/2026 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Berbekalkan minat terhadap seni seramik, seorang peserta program Young Art Entrepreneur (YAE!) kohort ke-11 kini melangkah lebih jauh dengan membangunkan ekosistem seni yang bukan sahaja menjana pendapatan, malah memberi impak kepada komuniti setempat.

Bagi Muhammad Aimanuddin Kasman, 31, seni bukan lagi sekadar karya untuk dipamerkan, sebaliknya medium yang mampu membuka peluang ekonomi, pendidikan serta aktiviti komuniti yang lebih luas.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dari Universiti Malaysia Sarawak itu memberi tumpuan kepada penghasilan Terenang, iaitu pasu tradisional Pahang yang suatu ketika dahulu digunakan dalam upacara perubatan dan majlis keramaian, namun kini hampir dilupakan.

“Bila saya berada di Karak, Pahang, saya lihat Terenang ini sebagai satu identiti yang boleh diketengahkan semula, bukan sahaja sebagai warisan, tetapi juga sebagai produk pelancongan budaya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Final Pitch Day YAE! di Balai Seni Negara, di sini, hari ini.

Menerapkan elemen moden bagi memenuhi keperluan pasaran semasa, Muhammad Aimanuddin berkata potensi seni itu turut dikembangkan menerusi Sari Cempaka Art Village di Bentong yang menawarkan bengkel seni, acara komuniti serta kemudahan penginapan dan makanan.

“Di sini kita bukan sahaja buat seramik, tetapi kita bina ekosistem. Orang datang bukan sekadar beli produk, tapi boleh belajar, berkarya dan alami pengalaman seni,” katanya sambil menyifatkan pendekatan itu mampu merancakkan ekonomi kreatif luar bandar.

“Kalau kita buat seni semata-mata, memang susah nak jual. Jadi kita kena ubah cara fikir, bukan hanya buat karya, tetapi hasilkan produk serta cari cara bagaimana nak pasarkan dan kekalkan minat pelanggan untuk terus bertahan dalam industri,” katanya.

Penyertaan dalam program YAE! yang diperkenalkan sejak 2017 itu berjaya membantu peserta mengembangkan potensi seni ke arah keusahawanan, termasuk dalam aspek penjenamaan, strategi pemasaran serta pemahaman terhadap kehendak pasaran.

Seorang lagi peserta program berkenaan, Farah Nisryn Mohd Safuan, 21, yang mengusahakan jenama Crafters in Bloom berkata minat terhadap seni kraf mengait untuk menghasilkan produk seperti rantai kunci, beg tangan dan patung hiasan kini berkembang menjadi sumber pendapatan melalui jualan tempahan khas dan di acara jualan sementara (pop-up).

“Saya mula nampak potensi bila produk saya habis terjual dalam satu sesi acara jualan sementara. Dari situ saya sedar benda ini boleh jadi sumber pendapatan. Program YAE pula membantu saya memperkemas penjenamaan, strategi harga serta pemahaman pasaran, selain membuka peluang kolaborasi,” katanya.

Program YAE! kohort ke-11 merupakan inisiatif Balai Seni Negara dengan kerjasama Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC) yang melibatkan 20 peserta sejak September 2025 melalui latihan intensif merangkumi pembangunan produk, strategi perniagaan dan akses pasaran, sebelum kemuncaknya pada Final Pitch Day hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan