AM

Arca Bahan Kitar Semula Simbol Kelestarian Alam, Ada Nilai Komersial

31/03/2026 08:28 PM

SEPANG, 31 Mac (Bernama) -- Inisiatif penghasilan arca daripada bahan kitar semula dilihat sebagai pendekatan inovatif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa secara lestari di samping membuktikan sisa pepejal sebenarnya mampu memberi pulangan tinggi jika diolah secara kreatif.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata inisiatif “Satu Arca, Satu Pejabat” yang dilaksanakan bermula Jun 2025 itu antara lain turut bertujuan mengubah persepsi umum bahawa sisa pepejal tidak mempunyai nilai, sebaliknya boleh diolah menjadi produk seni bernilai tinggi melalui kreativiti dan kemahiran.

“Kami ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa sampah yang pada mulanya dilihat tiada nilai, kalau diolah dengan kreatif ia boleh dikomersialkan dengan nilai yang tinggi, dan ini sebenarnya satu daripada pendekatan kami untuk menggalakkan komuniti supaya jangan buang sisa-sisa sampah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Arca Lestari Sepang di sini hari ini, yang disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu.

Mengangkat pendekatan “hasil seni bahan buangan”, inisiatif SWCorp itu menggabungkan elemen seni awam dengan mesej pendidikan alam sekitar bertujuan mengindahkan landskap setempat di samping mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan.

Inisiatif itu juga melibatkan kejayaan pelaksanaan 47 arca kitar semula di sembilan negeri dalam tempoh enam bulan yang menjadi manifestasi dan komitmen SWCorp dalam memperkasakan amalan 5R, iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Recycle dan Recover.

Khalid berkata antara bahan utama yang digunakan dalam pembinaan 47 arca itu termasuk logam terpakai, aluminium, tayar, getah, komponen basikal lama dan plastik.

Bahan-bahan itu kemudiannya diproses dan disusun semula mengikut reka bentuk tertentu bagi menghasilkan arca yang sesuai dijadikan elemen hiasan di ruang awam, antaranya replika kapal terbang, perahu layar dan elemen flora serta fauna.

Khalid berkata dari segi aspek pelaksanaan, projek itu melibatkan pendekatan kolaboratif dengan pelbagai pihak termasuk komuniti setempat dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami tanggung kos, iaitu antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap satu arca dan PBT pula menyediakan lokasi bersesuaian. Pemerhatian kami juga mendapati rata-rata orang yang mengunjungi tempat arca ini diletakkan turut merakam dan berkongsi imej berkenaan di media sosial mereka,” katanya.

Lebih membanggakan, hasil usaha SWCorp turut mendapat pengiktirafan ASEAN dan ASIA bagi Largest Single-Program Multi-State Outdoor Recycled Sculpture Installation by a Government Agency melibatkan pembinaan 45 arca di lapan negeri dalam tempoh enam bulan pelaksanaan.

Sebagai pelengkap kepada inisiatif itu, SWCorp turut melaksanakan penyediaan kemudahan tong sampah berpusat di kawasan sekitar Bagan Lalang di sini bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sisa dan memastikan persekitaran yang lebih bersih, selamat dan kondusif kepada komuniti serta pengunjung.

Sementara itu, Aiman Athirah berkata pembinaan kesemua arca itu berfungsi sebagai simbol visual yang berkesan dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan dan kelestarian alam sekitar.

“Sebagai contoh, pemilihan arca kapal terbang sebagai satu daripada simbol utama adalah amat signifikan kerana ia mencerminkan identiti Sepang sebagai pintu masuk utama negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Lebih menarik, pembinaan arca ini menggunakan bahan kitar semula menggambarkan bahawa sisa pepejal juga mampu ‘terbang tinggi’ menjadi sesuatu yang bernilai apabila diuruskan secara kreatif dan inovatif,” katanya.

Selain arca kapal terbang, turut diletakkan arca perahu di Golden Palm Tree Resort & Spa di sini yang dihasilkan menggunakan pelbagai bahan terpakai seperti besi, tong dram, papan kitar semula dan komponen plastik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan