KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan terus memantau rapi dan berusaha supaya dapat melindungi rakyat di samping mengurus ekonomi negara secara proaktif, menyeluruh dan teratur, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan manakala respons awal telah pun dilaksanakan.
“Namun begitu, kerajaan kini mengambil pendekatan kesiapsiagaan tinggi untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk krisis tenaga global. Ini adalah realiti yang bakal kita hadapi,” katanya dalam hantaran di laman sosial rasmi beliau hari ini.
Sebelum itu, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keterjaminan Tenaga dan Kesan Konflik Asia Barat Bilangan Ketiga bagi membincangkan dapatan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
“Konflik Asia Barat terus meruncing dan tidak kelihatan tanda-tanda penyelesaian dalam masa terdekat, seterusnya memberi tekanan dan implikasi yang besar terhadap tenaga, rantaian bekalan dan ekonomi global,” katanya.
Amir Hamzah berkata ikhtiar kerajaan turut mengambil kira kesejahteraan rakyat dan kemampanan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri.
Oleh itu, kerajaan menggalakkan perubahan kepada gaya hidup yang lebih berhemat dan bersederhana seperti merancang perjalanan, perbelanjaan, penggunaan elektrik di rumah dan pejabat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial