JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga Ditahan Bantu Siasatan Kandungan Berunsur Fitnah, Hina Institusi Diraja Johor, PM

31/03/2026 11:27 PM

JOHOR BAHRU, 31 Mac (Bernama) -- Polis menahan tiga individu termasuk remaja berumur 17 tahun bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan melalui aplikasi TikTok yang mengandungi unsur hasutan, fitnah serta penghinaan terhadap agama Islam, institusi diraja Johor, Ketua Polis Johor dan Perdana Menteri.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dalam kenyataan berkata dua wanita dan seorang lelaki berumur lingkungan 17 hingga 49 tahun itu ditahan di Taman Saujana di sini, awal pagi tadi.

“Polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang mengesan satu video dimuat naik pemilik akaun 'ratunurputribalqis' didakwa mengandungi kenyataan fitnah terbabit, Ahad lepas,” katanya. 

Antara kandungan dalam hantaran itu ialah dakwaan Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor serta Perdana Menteri mendapat nasihat daripada pemilik akaun berkenaan dalam penyediaan teks ucapan. 

Selain itu, kandungan terbabit turut memaparkan fitnah kononnya Sultan Johor menyimpan dokumen pengenalan diri pemilik akaun berkenaan bagi tujuan tertentu berkaitan ajaran yang dibawanya.

Inti pati kandungan hantaran itu juga termasuk membuat tuduhan terhadap Jabatan Agama Islam Negeri Johor kononnya terlibat dalam salah laku dan rasuah serta menyatakan solat fardu akan kembali kepada dua rakaat dan solat sunat satu rakaat.

Ab Rahaman berkata semakan dibuat mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing dijalankan adalah negatif. 

Beliau berkata pihaknya turut melakukan beberapa rampasan untuk siasatan dan Mahkamah Majistret di sini membenarkan mereka direman selama empat hari hingga 3 April ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, serta Seksyen 298 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dalam kenyataan berasingan berkata antara barangan dirampas termasuklah jaket, telefon bimbit, cermin mata, cincin, rantai, gelang tangan, meja, al-Quran, skrip, surat dan aksesori berkaitan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata tindakan tegas berdasarkan undang-undang dan enakmen sedia ada di Johor akan dikenakan kepada mereka yang terlibat dengan ajaran sesat.

Perkara itu susulan tersebarnya di media sosial beberapa klip video yang didapati mengandungi ajaran menyimpang dan mengelirukan, antaranya memaparkan individu yang menggelarkan dirinya sebagai “Ruhul Qudus, Ruhul Amin, Raja Muhammad atau alam nyata aku dahulu Muhammad Putra Aminah”. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan